MELAKA: Kerajaan Negeri Melaka belum bercadang untuk mewajibkan jemaah mengambil suntikan lengkap vaksinasi Covid-19 bagi menunaikan solat di surau dan masjid di negeri ini.
Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Che Sukri Che Mat berkata, setakat ini Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka masih belum mempertimbangkan perkara itu, meskipun negara mencatatkan peningkatan 31,000 kes Covid-19 semalam.
Jelasnya, kini pihak pengurusan di setiap masjid hanya mengekalkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) mengikut penjarakan satu meter dan memakai pelitup muka.
“Kita belum membincangkan ketetapan baharu untuk mewajibkan jemaah mempunyai dos lengkap vaksinasi atau dos penggalak bagi menunaikan solat di surau dan masjid.
“Walaupun kes Covid-19 tinggi pada hari ini, namun kita juga perlu prihatin kepada mereka yang masih belum dapat menyempurnakan suntikan vaksin dan dos penggalak,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang menetapkan syarat hanya jemaah lengkap dua dos vaksin dan dos penggalak, dibenarkan hadir menunaikan solat Jumaat, bermula esok.
Semalam, Selangor mencatatkan kes tertinggi Covid-19 dengan sebanyak 7,775 kes direkodkan.
Tambah Che Sukri, beliau menghormati keputusan yang dibuat JAIS dan menyifatkannya sebagai keperluan mengikut negeri masing-masing.
“Kalau itu ketetapan yang perlu dilakukan di Selangor, saya tidak boleh memberikan apa-apa komen tetapi di Melaka belum lagi.
“Apa sahaja keputusan dibuat, perkara utama mestilah sentiasa mematuhi SOP sedia ada sepanjang masa bagi memutuskan rantaian wabak ini,” katanya. UTUSAN