JEMPOL: Seorang lelaki maut selepas dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam kejadian di Kilometer 11, Jalan Bahau-Rompin di sini kira-kira pukul 7.50 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, mangsa, Mohamed Khairuzzaim Mohamed Faizal, 22, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala.
“Siasatan awal mendapati, semasa mangsa menunggang motosikal dari arah Rompin menghala ke Segamat dan tiba ditempat kejadian, mangsa dipercayai gagal mengawal motosikalnya di laluan berselekoh lalu terjatuh.
“Mangsa kemudian terseret sejauh lebih kurang tiga meter dan terus memasuki ke laluan bertentangan. Pada masa yang sama datang sebuah kereta jenis Mitsubishi Triton yang dipandu seorang lelaki berusia 57 tahun yang datang dari arah Segamat menghala ke Bahau lalu melanggar mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Chang Hook, mayat mangsa dihantar ke Hospital Jempol untuk dibedah siasat dan kes disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – UTUSAN










