KEMAMAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah bot nelayan Vietnam yang menceroboh perairan negara, Selasa lalu.
Pengarah Zon Maritim Malaysia Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd. Rashid berkata, bot itu ditahan di kedudukan 102 batu nautika tenggara dari Kuala Kemaman, kira-kira pukul 5.40 petang.
Katanya, pemeriksaan mendapati kesemua 13 kru bot termasuk tekong yang berusia antara 23 hingga 45 tahun itu tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri sah.
“Pada awalnya, kita mengesan dua bot nelayan asing leka menangkap ikan di perairan negara, namun selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa, mereka bertindak memecut laju bot.
“Sebuah bot berjaya meloloskan diri berikutan jarak yang hampir dengan sempadan dan walaupun laut bergelora kita berjaya menahan satu bot lagi selepas kita mengambil masa kira-kira 30 minit untuk memintasnya,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Rashidilhadi berkata, pihaknya merampas kira-kira 500 liter diesel, satu tan hasil laut dan peralatan menangkap ikan yang dianggarkan berjumlah RM1.5 juta.
Katanya, berdasarkan jumlah diesel dan hasil tangkapan, pihaknya percaya bot itu baharu berada di laut beberapa hari dan kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985. – UTUSAN