KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) menawarkan Biasiswa Zamalah Pendidikan (BZP) kepada pelajar yang layak bagi mengikuti 26 bidang pengajian di universiti awam atau swasta tempatan.
Yang Dipertua Maik, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, penajaan tersebut ditawarkan kepada pelajar yang baru mendapat tempat dalam semester pertama dan pelajar semester berikutnya.
“Tawaran biasiswa ini membabitkan sebanyak 26 bidang pengajian. Daripada jumlah itu, 10 bidang pengajian adalah di peringkat Ijazah Sarjana Muda manakala 16 bidang lagi di peringkat Diploma.
“Anggaran peruntukan perbelanjaan bagi penajaan biasiswa ini adalah sebanyak RM660,000 bagi tahun pertama dan tambahan RM292,500 bagi tahun berikutnya,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Terdahulu, beliau menghadiri upacara menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Maik dengan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), di sini, dan turut disaksikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.
Maik diwakili Timbalan Yang Dipertuanya, Zulkifle Ab. Rahman manakala KIAS diwakili Rektornya, Prof. Dr. Ab. Aziz Mohd. Zin.
Tengku Mohamad Rizam dalam pada itu berkata, menerusi MoU yang ditandatangani bersama KIAS, Maik bersetuju menaja 80 pelajar yang melanjutkan pelajaran di universiti tersebut pada tahun ini.
“Mereka terdiri daripada 30 pelajar Diploma, 20 pelajar Diploma Pengajian Turath dan 30 pelajar di peringkat Ijazah Sarjana Muda.
“Bagi penajaan biasiswa pada 2023 dan seterusnya, Maik akan menaja 15 pelajar Diploma, lima pelajar Diploma Pengajian Turath dan 15 pelajar ijazah Sarjana Muda,” katanya.
Selain biasiswa kata beliau, Maik turut menawarkan program Dermasiswa Sultan Ismail Petra (DSIP) kepada pelajar asnaf yang menuntut di Kias dengan kadar RM4,000 setahun, tertakluk kepada terma dan syarat serta peruntukan Maik dari semasa ke semasa. –UTUSAN