Lima ditahan, syabu bernilai RM418,000 dirampas

Lima ditahan, syabu bernilai RM418,000 dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lima individu termasuk dua wanita ditahan disyaki terlibat dalam pengedaran dadah jenis syabu bernilai lebih RM418,000 dalam serbuan di sebuah apartmen di Jalan Sultan Ismail di sini, semalam.

Serbuan Operasi Colin (Ops Colin) dilaksanakan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bermula pukul 2.10 petang itu turut merampas syabu seberat 11.6 kilogram (kg).

Timbalan Ketua JSJN Kuala Lumpur, Superintenden Mohd Shokri Abdullah berkata, pada mulanya seorang wanita ditahan di luar apartmen berkenaan sebelum polis dibawa ke sebuah unit kediaman terbabit.

Kata beliau, hasil serbuan itu, tiga lelaki dan seorang wanita yang berada di kediaman itu ditahan.

“Pemeriksaan lanjut, kita menemukan 11.6 kg syabu dan 10 biji pil kuda dianggarkan bernilai RM418,061 serta wang tunai RM722.

“Semakan mendapati semua suspek berusia antara 27 hingga 54 tahun tidak mempunyai pekerjaan tetap dan sudah beberapa kali ditangkap polis berkaitan kes narkotik,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kata Mohd Shokri, tiga suspek lelaki masih belum berkahwin manakala dua suspek wanita sudah berkahwin dan mempunyai anak.

Ujarnya, hasil ujian saringan awal polis ke atas semua suspek mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine.

“Semua dadah yang dirampas dipercayai untuk pasaran sekitar Lembah Klang dan mampu menampung keperluan 23,235 pengguna dadah.

“Semua suspek direman tujuh hari sehingga 1 Mac dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan,” jelasnya.

Dalam pada itu, JSJN Kuala Lumpur meminta kerjasama orang awam menyalurkan maklumat berhubung kegiatan penyalahgunaan dadah melalui aplikasi WhatsApp di talian 012-2087222 pada bila-bila masa. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN