CYBERJAYA: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memberi jaminan bahawa segala fail data pembayar cukai di negara ini adalah selamat daripada diceroboh oleh pihak luar.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) LHDN, Wan Ramiza Wan Ghazali berkata, langkah itu amat penting demi memastikan keyakinan masyarakat terhadap kredibiliti agensi tersebut.
“Sehubungan itu, kita akan terus memelihara tahap keselamatan kerahsiaan segala dokumen terutama pembayar cukai sentiasa dipelihara daripada cuba dimasuki orang luar,” tegasnya.
Terdahulu, beliau hadir menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara LHDNM dengan Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan (CGSO) di Menara Hasil di sini hari ini.
Pemeteraian tersebut disaksikan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Rakon, manakala CGSO diwakili oleh Ketua Pengarahnya, Rahimi Ismail.
MoU itu merupakan julung kali yang melibatkan kedua-dua agensi berkenaan dan membolehkan agensi berkenaan melaksanakan pematuhan keselamatan perlindungan khususnya maklumat awam.
Uniknya, LHDN diumumkan sebagai projek anak angkat sulung CGSO dan ditawarkan Institut Latihan Keselamatan Perlindungan Malaysia untuk siri latihan pegawainya secara berkala.
Mengulas lanjut, Wan Ramiza berkata, MoU itu sudah dirancang pada Disember tahun lepas selepas kejayaan perintis yang melibatkan LHDN Negeri Selangor dan Labuan sejak 2017.
“Justeru, kami lihat memang ada keperluan penting bekerjasama rapat dengan CGSO kerana agensi berkenaan berurusan jutaan maklumat sulit khasnya rekod peribadi pembayar cukai,” katanya.
Pada masa sama, beliau meletakkan sasaran jangka panjang ingin meraih penarafan lima bintang oleh pejabat CGSO meliputi bukan setakat ibu pejabat, malah di semua premis negeri.
Ditanya bagaimana tahap keselamatan kerahsiaan data pelanggan di LHDN, beliau berkata pihaknya ada melakukan inspektorat keselamatan secara dalaman dari semasa ke semasa.
Bagaimanapun, agensi itu masih memerlukan pihak bebas dari luar menerusi perkongsian kepakaran dengan CGSO bagi memastikan integriti keselamatan lebih diyakini masyarakat.
Langkah itu ujarnya, bertepatan dengan Teras Strategik Kedua Pelan Korporat LHDN 2021 – 2025 bagi meningkatkan kepercayaan dan memberikan perkhidmatan terbaik untuk rakyat.
“Selaku pentadbir cukai langsung untuk negara, sudah tentu kami perlu memastikan sumber manusia, aset dan premis terpelihara keselamatannya sepanjang masa,” kata Wan Ramiza.
Badan berkanun Kementerian Kewangan itu diperbadankan pada 1996 lalu di bawah Akta LHDNM 1995 menggantikan peranan sebelumnya oleh Jabatan Hasil Dalam Negeri Malaysia.
Agensi ini bertanggungjawab bagi pentadbiran menurut enam akta berbeza antaranya Akta Cukai Pendapatan 1967, Akta Setem 1949 dan Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976. UTUSAN