PETALING JAYA: Seorang lelaki rentung selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandunya terbabit dalam kemalangan lalu terbakar di Kilometer 428 Lebuhraya Utara-Selatan. Ia berlaku dekat susur keluar tol Bukit Tagar arah Selatan, dekat sini, awal pagi hari ini.
Dalam kejadian pukul 1 pagi itu, Mangsa dikenali sebagai Hong Beng Aun, 46, rentung selepas kenderaan dipandunya terbakar 90 peratus.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 1.08 pagi.
Katanya, sebuah jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dengan sembilan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa dikejarkan ke lokasi kejadian.
“MPV dipandu mangsa dipercayai terbabas sebelum melanggar pembahagi jalan dan terbalik sebelum terbakar ketika menghala susur keluar tol Bukit Beruntung,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kata Norazam, mayat mangsa dibawa keluar dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.-UTUSAN