KUALA TERENGGANU: Perkenalan selama lapan tahun berakhir ke jenjang pelamin buat pasangan pengantin baharu yang memilih disatukan pada tarikh istimewa 22 Februari 2022 atau 22222, hari ini.
Nur Amira Amran, 24, berkata, dia dan suami, Zamirul Aiman Zahari, 25, sepakat untuk melangsungkan perkahwinan pada tarikh berkenaan walaupun Selasa merupakan hari bekerja.
Katanya, selain tarikh yang simbolik, penganjuran majlis pada hari ini juga bagi mencipta kelainan kerana lazimnya hari bahagia pasangan mempelai diadakan pada hujung minggu atau cuti umum.
“Kami memang merancang berkahwin tahun ini kerana tidak mahu bertunang terlalu lama.
“Saya bersyukur majlis pernikahan yang diadakan di rumah di Kampung Bukit Tunggal di sini berjalan lancar kira-kira pukul 10 pagi tadi,” katanya kepada pemberita.
Nur Amira yang merupakan jurujual berkata, dia mengenali suaminya melalui aplikasi WeChat pada 2015 dan kedua-duanya bertunang pada Oktober tahun lalu.UTUSAN