KUWAIT CITY: Kuwait akan mengharamkan tayangan filem baharu, Death on the Nile di negara itu berikutan dibintangi oleh aktres warga Israel, Gal Gadot.
Lapor Daily Mail, berdasarkan akhbar Al-Qabas, keputusan untuk mengharamkan filem adaptasi karya Agatha Christie itu diambil setelah menerima tuntutan dalam media sosial.
Menurut pegawai di Kuwait, pihaknya tidak akan sesekali membenarkan filem dilakonkan oleh ‘seorang bekas anggota tentera dalam rejim Zionis’ ditayangkan di negara itu.
Dilaporkan, Gadot pernah menjalani perkhidmatan ketenteraan selama dua tahun di Israel sebelum memulakan kerjaya lakonannya.
Pengguna media sosial di Kuwait sebelum ini mengecam komen dikeluarkan oleh Gadot terhadap Tentera Pertahanan Israel (IDF) dan kritikannya ke atas Hamas semasa perang 2014 di Gaza.
Gadot pernah memuji dan mendoakan kebaikan untuk tentera Zionis yang mempertaruhkan nyawa serta melindungi Israel daripada ancaman Hamas.
Kuwait menentang keras normalisasi hubungan dengan rejim penjajah Israel dan sudah lama menyokong perjuangan Palestin.
Gadot membintangi watak utama dalam filem Wonder Woman yang turut diharamkan di beberapa negara Arab termasuk di Lubnan dan Qatar. – AGENSI