PETALING JAYA: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki melancarkan Expert Masterclass in Corporate Liability, Organizational Anti-Corruption Plan & Corruption Risk Management atau Program EXCEL.
Menurut satu kenyataan, program tersebut bertujuan mempromosikan nilai-nilai integriti serta menyebar luas usaha-usaha untuk meningkatkan tadbir urus yang baik dinegara ini khususnya di sektor swasta.
Kata kenyataan itu, pelancaran Program EXCEL memperlihatkan kerjasama strategik antara Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) , ELMU Education Group Sdn Bhd (ELMU Group) dan Ramssol Group.
“Menerusi kerjasama ini, pihak yang terbabit akan menggunakan kepakaran masing-masing untuk membantu organisasi-organisasi di luar, khususnya organisasi swasta untuk membangunkan Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) dan Pelan Pengurusan Risiko Rasuah (CRM) di dalam organisasi masing-masing, sejajar dengan inisiatif Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) dan pelaksanaan undang-undang Seksyen 17A (Liabiliti Korporat) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
“Peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 17A (Liabiliti Korporat) ini dikuat kuasa untuk menggalakkan aktiviti perniagaan dijalankan dengan integriti tanpa rasuah dan mempromosi amalan tadbir urus baik dalam organisasi serta bukan bertujuan untuk menghukum organisasi komersial semata-mata,” jelas kenyataan itu.
Program dilancarkan di Hotel Sheraton Imperial, Kuala Lumpur turut dihadiri Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi), Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya dan Pengerusi ELMU Education Group Sdn Bhd, Datuk Seri Muhamad Adlan Berhan
Selain itu, Pengerusi ELMU V Sdn Bhd, Datuk Victor Hoo; Pengerusi Ramsoll Group Berhad, Datuk CM.Vignaesvaran dan Pengarah Urusan Ramsoll Group Berhad Datuk Seri Cllement Tan.
Kenyataan itu menambah, pelaksanaan program-program latihan berkaitan pembangunan OACP dan CRM dapat dijalankan dengan lebih sistematik, efektif, efisyen dan lebih menyeluruh dengan adanya kerjasama strategik itu.
Selain itu, kata kenyataan itu, kerajaan menggalakkan sektor korporat menganjurkan program bertemakan integriti dan anti rasuah serta inisiatif itu diklasifikasikan sebagai tanggungjawab sosial korporat atau CSR oleh syarikat.
“Pada 5 April lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz telah meluluskan secara dasar potongan cukai kepada syarikat yang melaksanakan program integriti dan anti rasuah yang memberi manfaat kepada komuniti.
“Potongan cukai itu adalah di bawah Seksyen 34(6)(h) Akta Cukai Pendapatan 1967. Di bawah peruntukan ini, syarikat atau penyumbang layak untuk memohon potongan cukai daripada pendapatan kasar perniagaan satu amaun bersamaan dengan amaun perbelanjaan yang telah dibuat,” katanya. – UTUSAN










