JOHOR BAHRU: Barisan Nasional mencalonkan Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd Hairi Mad Shah di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Perkara itu dimaklumkan Mohd. Hairi ketika ditemui Utusan Malaysia di Majlis Pengumuman Calon Barisan Nasional (BN) pagi ini. Pengumuman secara rasmi akan dilakukan oleh Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad.
BN juga meletakkan Ketua Pemuda MIC Kebangsaan, Raven Kumar, 39 di DUN Tenggaroh.
Dalam pada itu, Hasarin Hashim yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO Johor kekal bertanding di kerusi DUN Panti.
PRN Johor dijangka menyaksikan pertembungan sengit apabila hampi semua parti utama akan meletakkan calon masing-masing.
Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menjelaskan akan meletakkan 42 calon yang dipilih berdasarkan kehendak rakyat dan komposisi pengundi.
Pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, tidak semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor sesuai dengan Pejuang kerana mereka adalah sebuah parti Melayu.
Beliau berkata, jika dominasi DUN itu bukan kawasan Melayu, maka agak sukar untuk menang di kawasan itu.
Parti Warisan Sabah (Warisan) mengumumkan kerusi pertama yang bakal ditandingi parti itu di PRN Johor iaitu di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu.
Pengumuman itu dibuat Presidennya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal ketika berucap pada Majlis Jamuan Makan Malam Tahun Baharu Cina 2022. – UTUSAN