Kertas kerja amah Indonesia akan dibentangkan

Kertas kerja pembantu rumah warga Indonesia dibentangkan ke Kabinet

M. Saravanan (dua kiri) menyampaikan replika cek bernilai RM48,356.49 kepada Radin Sutrisno Radin Sudar Sono yang hilang upaya kekal akibat kemalangan jalan raya sambil diperhatikan Noh Omar sempena Majlis Pelancaran Kempen Mencarum Perkeso Usahawan Tekun di, Johor Bahru hari ini. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kementerian Sumber Manusia akan membentangkan kertas kerja berkaitan memorandum persefahaman (MoU) pengambilan dan penempatan pembantu rumah warga Indonesia ke mesyuarat Kabinet dalam masa terdekat.

Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan berkata, antara perkara yang diberikan penekanan dalam kertas kerja tersebut adalah gaji minima, skop pekerjaan serta penggunaan sistem yang sah.

“Ketiga-tiga perkara ini kita telah persetujui, saya akan bawa ke Kabinet dan akan dipanjangkan kepada pihak Jakarta untuk menandatangani MoU tersebut sebaik mendapat persetujuan,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Kempen Mencarum Usahawan Tekun di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar.

Sebelum ini, Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono berkata, negara itu menuntut komitmen politik daripada Malaysia agar MoU berhubung pengambilan dan penempatan pembantu rumah dihormati dan dilaksanakan sepenuhnya sebelum dimeterai.

Beliau berkata, ketika ini Indonesia hilang kepercayaan terhadap komitmen itu kerana pihak utama yang akan menguatkuasakan MoU berkenaan iaitu Jabatan Imigresen Malaysia hanya terbabit dalam beberapa siri rundingan sahaja.

“Wakil imigresen yang menyertai perundingan juga terdiri daripada pegawai bukan dalam kategori pembuat keputusan,” ujarnya.

Hermono turut menyatakan pihaknya memerlukan ruang untuk mengadakan rundingan lagi sekali gus memberi gambaran MoU itu tidak akan dapat dimuktamadkan dalam masa terdekat. 

Rundingan pengambilan dan kemasukan pembantu rumah warga Indonesia ke Malaysia yang dimulakan sejak 2017, masih gagal diselesaikan sehingga kini. UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN