SUNGAI PETANI: Kerajaan negeri mengesahkan hanya sebuah kilang kitar semula beroperasi di tapak bekas kilang Perwaja Steel di Gurun di sini pada masa ini.
Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Sains, Teknologi, Inovasi dan Pengajian Tinggi negeri, Datuk Ku Abd. Rahman Ku Ismail berkata, kilang yang beroperasi secara kecil-kecilan itu mempunyai lesen.
Menurut beliau, dua buah kilang lagi yang beroperasi secara haram di tapak tersebut sebelum ini telah menutup operasi selepas tidak memiliki lesen.
“Kedua-dua kilang itu dalam proses mendapatkan lesen dan masih dalam peringkat menunggu laporan penilaian impak alam sekitar (EIA),” katanya ketika dihubungi semalam.
Perwaja Steel
Utusan Malaysia semalam melaporkan tapak bekas kilang Perwaja Steel di Gurun yang gah sebagai syarikat konglomerat suatu masa dahulu kini bukan sahaja terbiar malah penduduk mendakwa terdapat kegiatan mencurigakan dijalankan di lokasi itu.
Di sekeliling pagar dalam kawasan seluas 200 hektar itu dipenuhi dengan semak-samun manakala beberapa bangunan kilang yang terletak tidak jauh dari Jalan Gurun-Sungai Petani pula kelihatan usang.
Timbalan Presiden Kelab Pendokong Penyatuan Ummah Malaysia (KPPUM), Zamil Ibrahim berkata, dia difahamkan terdapat tiga hingga empat kilang kitar semula beroperasi di kawasan kilang tersebut.
Beliau juga mendesak Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor supaya mendedahkan status kilang-kilang tersebut dengan segera.
Selain itu, Ku Abd. Rahman memberitahu, pemilik tanah di tapak bekas kilang Perwaja Steel itu juga telah membayar cukai tanah berjumlah RM2.6 juta pada tahun 2020.
“Difahamkan pihak terlibat juga dalam proses untuk menjelaskan cukai tanah yang tertunggak pada 2021 dan tahun ini,” ujarnya.
Beliau menambah, pada masa sama, beliau meminta Jabatan Imigresen Malaysia melakukan operasi untuk menangkap pekerja asing tanpa izin (PATI) seperti yang didakwa sebelum ini.
Katanya, siasatan perlu dilakukan terhadap dakwaan terdapat lorong-lorong tikus yang menjadi laluan PATI untuk meloloskan diri sekiranya imigresen melakukan operasi di kawasan tersebut.
“Saya juga akan meminta JAS dan imigresen menyiapkan laporan kepada kerajaan negeri berkaitan operasi di kilang-kilang tersebut,” katanya.- UTUSAN











