PARIT: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) diminta mengekalkan 31 acara dalam Sukan Malaysia (Sukma 2022) edisi ke-20.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Negeri Perak, Khairul Shahril Mohamed berkata, pihaknya menyambut baik pengumuman Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bahawa Sukma 2022 diadakan di Kuala Lumpur.
Khairul Shahril bagaimanapun memohon agar KBS dan MSN mempertimbang semula cadangan mengurangkan acara sukan yang dipertanding pada temasya Sukma edisi kali ini seperti yang dimaklumkan kepadanya.
“Pengumuman ini merupakan berita gembira kerana sudah dua tahun penganjuran Sukma tertangguh dan sudah pasti ia melegakan semua pihak. Saya seru KBS dan MSN khususnya untuk melaksanakan 31 acara sukan sepertimana yang dijanjikan MSN pada peringkat awal Sukma 2020 dengan 16 acara sukan wajib dan 15 sukan pilihan.
“Saya difahamkan ada sedikit pengurangan acara di peringkat sukan pilihan, jadi saya minta mereka pertimbangkan kembali untuk laksanakan keseluruhan seperti yang dijanjikan,” katanya selepas hadir bersama Pengurus Besar State Stakeholder Affairs Tenaga Nasional Berhad (TNB) Perak, Datuk Ir. Sharuddin Mohd. Simin pada Program Penyerahan Rumah Baiti Jannati TNB di Kampung Seri Kaya Bota Kiri di sini hari ini.
Sementara itu, mengulas lanjut mengenai pelaksanaan Sukma 2022 di Kuala Lumpur, Khairul Shahril berkata, penganjurannya perlu disegerakan memandang atlet-atlet telah membuat persiapan lama.
Katanya, penangguhan Sukma sebelum ini banyak memberi kesan kepada atlet-atlet terlibat memandangkan persiapan yang dilakukan mereka hampir empat tahun.
“Ini memang yang ditunggu-tunggu, saya ucap terima kasih banyak kepada Kerajaan Malaysia mengambil maklum dan berat tentang apa yang dihadapi oleh atlet kita telah membuat persiapan cukup lama untuk menghadapi Sukma,” katanya. – UTUSAN