PETALING JAYA: Sebuah kapal dipercayai milik Pengawal Pantai China (CCG) sekali lagi dilihat menceroboh perairan negara apabila kelihatan berlayar berhampiran sebuah pelantar minyak di Sarawak.
Berdasarkan sebuah video di laman twitter portal pertahanan Defence Security Asia, kapal tersebut kelihatan begitu hampir dengan pelantar minyak berkenaan sehingga menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan pengguna media sosial.
Malah, beberapa pengguna turut membangkitkan persoalan berhubung tindakan selanjutnya daripada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berhubung insiden berkenaan.
“Mana diplomasi hang @Hishammuddin H20?jangan tidur woi,” jelas @redza_haqimi.
Selain itu ada pengguna yang menyifatkan tindakan China sebagai melampau dan keterlaluan apabila menceroboh kedaulatan negara.
“Berani betul kapal China masuk perairan Sarawak,” kata pemilik akaun @Kabir _Akram.
Tindakan pencerobohan kapal dan aset tentera daripada negara tersebut bukan pertama kali berlaku.
Berdasarkan laporan Ketua Audit Negara (KAN) 2018 Siri 3, kapal Pasukan Pengawal Pantai China (CCG) dan Tentera Laut Pembebasan Rakyat China (Plan) direkod menceroboh perairan Malaysia sebanyak 89 kali antara 2016 dan 2019. – UTUSAN