parti sosialis malaysia

Kami bukan parti haluan kiri – PSM

A. Sivajaran (kiri) bersama S. Arulchelvam (kanan) dalam sesi memperkenalkan calon tunggal PSM, R. Arangkannal yang akan bertanding dalam PRN Johor di DUN Kota Iskandar, Iskandar Puteri. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Parti Sosialis Malaysia (PSM) mahu mengubah persepsi negatif masyarakat negara ini terhadap perjuangan mereka yang didakwa membawa haluan kiri berbanding parti politik lain.

Setiausaha Agungnya, A. Sivarajan berkata, banyak perubahan sudah dapat dilihat dalam landskap politik semasa PSM termasuklah penerimaan golongan muda terhadap parti berkenaan.

“Politik haluan kiri adalah sesuatu yang negatif dan persepsi yang dilihat oleh ramai sebelum ini, namun sejak PSM wujud bermula tahun 1998, kami komited untuk menghakis pandangan tersebut.

“Sepanjang tempoh itu, banyak perubahan telah berlaku kerana rakyat negara ini semakin bijak. Kini mereka faham bahawa politik ‘haluan kiri’ itu adalah politik antikapitalis, semakin ramai telah menyertai kami termasuk masyarakat Melayu,” katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi PSM, S. Arulchelvam pula memberitahu, sokongan yang diterima parti itu khususnya melibatkan generasi muda adalah berikutan mereka sudah bosan dengan politik berhaluan kanan.

“Rakyat sekarang sudah berubah, akibat bosan dengan politik semasa kini ramai rakyat sudah hilang keyakinan dengan gerakan politik kanan yang dikuasai elitis, kapitalis dan tauke-tauke besar.

“Sepanjang tempoh ini, sejarah negara telah menyaksikan golongan kiri turut memberi sumbangan yang besar dalam kemakmuran negara, jadi mungkin tanggapan negatif perlu dibetulkan.

“PSM mempunyai sokongan akar umbi yang kuat khususnya melibatkan golongan pekerja seperti petani, peladang, kontraktor, pertubuhan kerja dan lain-lain yang mana majoriti mereka adalah golongan marhaen,” jelasnya.

Semalam, PSM memperkenalkan calon tunggal mereka, R. Arangkannal dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar.

Penggiat seni berusia 46 tahun itu juga calon pertama PSM yang menyertai pilihan raya di Johor walaupun parti berkenaan telah melakukan kerja-kerja asas dan perkhidmatan di kawasan itu sejak lebih 10 tahun lalu.

Ara adalah lulusan Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang perfileman dan sains politik, beliau juga sebelum ini telah mengarahkan sebuah filem yang mengetengahkan cabaran kehidupan golongan peladang di negara ini pada tahun 2015. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya