Johor Tigris tak rela tercicir - Utusan Malaysia

Johor Tigris tak rela tercicir

JOHOR Tigris tidak rela kecewa di laman sendiri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAYAN BARU: Ketika saingan Premier, Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2021/2022 hanya berbaki tiga perlawanan, Johor Tigris terdesak untuk mengelak gagal me­nempatkan diri ke Piala Juara-Juara yang akan diadakan di Johor dari 20 hingga 26 Mac.

Kekalahan tipis 21-19, 9-21, 22-24 kepada juara baharu STL, ATM Guardians di Spice Arena, Bayan Baru kelmarin, menyebabkan skuad bimbingan Ahmad Jais Baharun tercicir ke kedudukan ketujuh.

Jika tiada pasukan jemputan beraksi dalam Piala Juara-Juara di Iskandar Malaysia Studio, bermakna lapan pasukan tempatan – enam Premier dan dua Divisyen 1 akan berentap.

Bagaimanapun jika dua pasukan luar negara bertanding, maka hanya empat pasukan Premier dan dua Divisyen 1 layak beraksi.

“Bertemu ATM Guar­dians satu persembahan terbaik yang dipamerkan Johor Tigris jika diban­dingkan dengan enam minggu yang lalu.

“Kami akur dan te­rima keputusan dengan hati terbuka biarpun dikatakan ada berlaku kesilapan daripada pihak pengadilan. Kami tidak mahu fikir kekalahan semalam lagi.

“Yang pasti, kami akan baiki prestasi pasukan termasuk di bahagian serangan.

“Kesilapan yang berlaku sejak minggu pertama akan dkurangkan apabila bertemu Putrajaya Cyborg petang esok (hari ini),” kata pengurus Johor Tigris, Ahmad Asif Mohamad Halim.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN