KUCHING: Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Prof. Datuk Awang Sariyan dinasihati untuk memahami kesan penamaan semula istilah “Ketua Menteri” kepada “Premier” kerana ia amat bermakna kepada rakyat di Sarawak.
Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sarawak, Fazzruddin Abdul Rahman berkata adalah tidak wajar untuk membiarkan teknikaliti linguistik dan lexicon semata-mata merampas hak dan status Sarawak.
Beliau berkata adalah merugikan bagi DBP untuk mengadakan tindakan sedemikian terhadap rakyat Sarawak.
“Walaupun profesor arif itu berhujah bahawa akan ada implikasi jangka panjang kepada penggunaan istilah itu, saya dengan rendah hati menggesa beliau untuk menghormati keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak serta Perlembagaan Sarawak,” kata Fazzruddin, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong dan Timbalan Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
Fazzrudin mengulas kenyataan Awang yang menggesa Sarawak mempertimbangkan semula keputusannya menukar gelaran ketua kerajaan negerinya daripada “ketua menteri” kepada “premier”.
Beliau berkata, DUN Sarawak sebagai badan penggubal undang-undang tertinggi di Sarawak telah meluluskan Rang Undang-undang Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2022, yang telah mendapat sokongan ahli dalam Dewan, sekali gus membolehkan Sarawak menegaskan dirinya dan statusnya sebagai salah satu rakan kongsi dalam pembentukan Persekutuan Malaysia.
Selama ini, kata beliau tiada pembezaan substantif antara Sarawak dan negeri-negeri lain di Malaysia yang turut menggunakan istilah “ketua menteri” untuk menamakan ketua kerajaannya.
Penamaan “premier” adalah susunan serupa yang diamalkan di wilayah Komanwel lain di mana ketua persekutuan digelar “premier” dan ketua wilayah yang membentuk persekutuan digelar sebagai “perdana menteri”.
Fazzruddin menjelaskan selepas pindaan Perlembagaan Persekutuan kepada Perkara 1(2) dan Perkara 160, Istilah “premier” mencerminkan dengan tepat, iaitu status Sarawak yang dinaikkan sebagai salah satu daripada tiga wilayah yang membentuk Malaysia dan ia juga menaikkan imej Sarawak di kalangan rakyat di negeri lain.-UTUSAN