Hanya BN fahami formula kongsi kuasa - Utusan Malaysia

Hanya BN fahami formula kongsi kuasa

MOHAMED Khaled Nordin berucap ketika menerima kemasukan bekas ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia Cawangan Tasek 64 di Bandar Seri Alam, Pasir Gudang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: Kegagalan PKR dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mencapai kesepakatan dalam pembahagian kerusi membuktikan mereka tidak memahami formula perkongsian kuasa yang diamalkan Barisan Nasional (BN) sejak berpuluh tahun lalu.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sekiranya di peringkat awal lagi mereka gagal mencari kata sepakat, ini menunjukkan gabungan antara Pakatan Harapan (PH) dengan parti Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu tidak akan bertahan lama.

Mohamed Khaled yang juga bekas Menteri Besar Johor berkata, cubaan dua parti itu meniru ‘blueprint’ BN tidak berjaya kerana mereka tidak jelas mengenai konsep kongsi kuasa yang hendak dilaksanakan.

“Kalau kita lihat parti-parti sebelah sana seperti Muda dan PKR, Muda bercakap (kritik) bekas wakil rakyat PKR di Ulu Tiram kemudian bergaduh mengenai (pembahagian) kerusi.

“Kemudian PKR pula bertelagah dengan DAP mengenai mengenai adanya parti seperti Muda yang baru dan sebagainya. Macam mana mereka nak wujudkan sebuah kerajaan yang boleh bekerja sesama sendiri jika itu keadaannya.

“Justeru bagi BN, kita sangat jelas mengenai konsep perkongsian kuasa itu yang dilaksanakan membabitkan parti komponen dalam BN. Sebab itu, hanya BN yang boleh membuktikan mampu membawa kestabilan,” katanya.

Pada 14 Februari lalu, Muda telah mencapai persetujuan dengan DAP dan Amanah untuk menjalin kerjasama politik dalam PRN Johor dengan kedua-dua parti komponen PH itu bersetuju menyerahkan enam kerusi DUN kepada Muda.

Namun semalam, Muda memaklumkan, tindakan PKR mengumumkan 20 calon mereka yang akan bertanding pada PRN Johor menamatkan rundingan pembahagian kerusi antara kedua-dua parti itu.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled yang juga Pengerusi BN Pasir Gudang berkata, BN bukan satu gabungan yang baharu tetapi sudah lama bertapak dan berpengalaman malah kewibawaannya sudah terbukti dan diperakui.

Justeru beliau berharap semua pengundi dapat menerima agenda dibawa gabungan tersebut pada PRN kali ini iaitu mewujudkan kerajaan yang stabil, kuat dan kukuh.

“Kestabilan itu hanya boleh dicapai melalui BN kerana daripada segi pendekatan BN, kita menekankan soal integrasi bukan asimilasi dan juga berasaskan hubungan yang lama dan nilai-nilai yang kita pegang secara bersama.

“Harap pengundi boleh bersetuju bahawa matlamat kita melalui PRN Johor ini untuk mewujudkan kerajaan yang stabil seterusnya mengembalikan Johor sebagai negeri maju dan berjaya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya