PETALING JAYA: Sikap Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dikecam yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) ketika hadir di sebuah majlis di Johor semalam dikecam Hannah Yeoh.
Ahli Parlimen Segambut itu memaklumkan Hishammuddin yang juga menteri kanan dan menguruskan portfolio berkaitan Covid-19 tidak sepatutnya melakukan kesalahan tersebut.
“Perbuatan Hishammuddin memalukan! Beliau menteri kanan yang mempengerusikan Mesyuarat Menteri Kuartet Covid-19. Buat SOP di Putrajaya tetapi tidak dilaksanakan di Johor,” kata Hannah menerusi ciapan di laman Twitter.
Sebelum itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengarahkan mengeluarkan kompaun kepada Hishammuddin, Presiden MIC, Tan Sri Vigneswaran serta Menteri Besar Johor, Datuk Seri Ir Hasni Mohammad.
Menurut Khairy, beliau akan pastikan pemimpin-pemimpin utama yang menghadiri majlis itu serta penganjur turut dikompaun di bawah Akta 342. Kementerian Kesihatan terus memantau SOP sempena PRN Johor.
Hishammuddin yang kemudian membalas ciapan Hannah mengakui kesilapannya walaupun beliau mendakwa dirinya hanya menghadiri sebagai tetamu undangan oleh pihak penganjur.
“Saya menghadiri majlis itu sebagai tetamu tetapi terdapat kekurangan daripada pihak penganjur untuk mengawal kehadiran orang ramai. Namun salah tetap salah.
“Tiada siapa yang mengatasi undang-undang dan ini perlu diambil sebagai pengajaran untuk semua,” katanya. – UTUSAN