Guna bot penumpang mewah seludup 3.2 tan daun ketum  - Utusan Malaysia

Guna bot penumpang mewah seludup 3.2 tan daun ketum 

HASHIM MAT ZAIN menunjukkan bahagian haluan bot penumpang mewah yang remuk selepas merempuh bot penguatkuasa Maritim Malaysia di perairan Pantai Kurung Tengar, Kuala Perlis semalam- UTUSAN/SYED AZLAN SAYID HIZAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengambil masa lebih 15 minit mengejar sebuah bot penumpang mewah dinaiki dua lelaki membawa muatan 3.2 tan metrik daun ketum dalam kejadian di kedudukan 5.8 batu nautika barat Pantai Kurung Tengar, Kuala Perlis di sini semalam.

Dalam aksi mengejar suspek tersebut turut berlaku pelanggaran apabila lelaki yang mengemudi bot berkenaan secara berbahaya itu  merempuh bot Maritim Malaysia dalam kejadian kira-kira pukul 6.05 pagi itu.

Bagaimanapun, dua lelaki tempatan berusia 37 dan 48 tahun itu berjaya ditahan bersama muatan daun ketum bernilai RM576,000 dipercayai untuk dibawa ke Thailand.

Pengarah Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Hashim Mat Zain, berkata, sebelum itu,  pihaknya mengesan sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran bergerak mencurigakan dari Kuala Kedah menuju ke sempadan Thailand.

Menurut beliau, suspek yang menyedari kehadiran bot anggota penguat kuasa bertindak mengemudi secara berbahaya sebelum dikejar 15 minit dan kemudian  merempuh bot maritim.

“Impak rempuhan tersebut menyebabkan bahagian haluan bot penumpang itu pecah dan mengalami kebocoran sebelum kedua-dua suspek ditahan.

“Pemeriksaan lanjut menemukan 300 bungkusan plastik berwarna hitam dan 13 bungkusan plastik putih berisi daun ketum dipercayai untuk dibawa masuk ke Thailand melalui jalan laut.

“Maritim Malaysia  merampas tiga enjin sangkut bernilai RM180,000 dan sebuah bot fiber bernilai RM200,000 menjadikan nilai keseluruhan rampasan ialah RM956,000,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut  Hashim, modus operandi suspek menggunakan bot penumpang mewah serta enjin sangkut berkuasa tinggi dengan 200 kuasa kuda setiap satu itu bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa.

Katanya, kes rampasan tersebut adalah yang kedua bagi zon Maritim Kuala Perlis pada tahun ini selepas rampasan pertama di perairan Sungai Padang, 15 Januari lalu.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya