PETALING JAYA: Gempa bumi berukuran 6.2 pada skala Richter yang melanda pantai barat Sumatera di Indonesia semalam turut dirasai penduduk di bahagian barat Semenanjung seperti di Selangor, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
Kesan gegaran itu menyebabkan ramai yang berada dalam bangunan seperti di Putrajaya, kompleks mahkamah di Shah Alam, kedai makan dan dalam rumah panik sehingga ada yang lari tanpa arah.
Bagaimanapun, gegaran sekitar lima saat hingga paling lama tiga minit itu tidak menyebabkan kecederaan kepada penduduk yang terlibat.
Laporan gegaran
Di Shah Alam, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd. Noor berkata, pihaknya menerima 14 laporan gegaran di negeri itu.
Menurut beliau, panggilan pertama diterima pada pukul 9.48 pagi oleh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting susulan gegaran berlaku di Mahkamah Telok Datok.
Seorang wartawan Utusan Malaysia yang sedang mengikuti pertuduhan kes rasuah di bangunan Annex di Shah Alam turut merasai gegaran diikuti kerusi bergoyang dalam tempoh kira-kira dua hingga tiga minit.
Orang awam serta petugas yang berada dalam galeri mahkamah saling berpandangan sesama sendiri namun kes diteruskan.
Seorang kakitangan mahkamah, Noorliza Mohd. Noor, 47, yang berada di tingkat enam berkata, dia pada mulanya menyangka ada rakan yang bergurau dengan menggoyangkan meja.
Bagaimanapun, selepas tiga lagi rakan sepejabat mula kata rasa pening dan meja bergoyang, mereka mula melakukan carian dalam media sosial sebelum mendapat tahu berlaku gempa bumi.
“Kami kemudian mengemas barang peribadi masing-masing dan sebaik mendengar arahan mengosongkan bangunan, kami terus turun ke kawasan lapang,” katanya ketika ditemui hari ini.
Di Kuala Lumpur, JBPM Kuala Lumpur memaklumkan, kira-kira 20 bangunan di sekitar Kuala Lumpur mengalami gegaran.
Antara bangunan di Wisma BSN, Axiata Tower, Hotel Perdana KL City Centre, Menara Glomac, Dewan Bahasa dan Pustaka dan Menara Maybank.
Menurut, penduduk di sekitar Jalan Cheras, Taman Tasik Permaisuri, Jalan Pudu serta Jalan Lorong Raja Muda turut mengalami gegaran.
“Setakat ini pusat gerakan operasi tidak menerima sebarang panggilan kecemasan yang melibatkan kerosakan struktur dan kecederaan penghuni bangunan,” kata kenyataan.
Di Seremban, gegaran dilaporkan dirasai di sekitar Seremban, Port Dickson dan Kuala Pilah.
Diarah keluar
Susulan kejadian tersebut, orang ramai di beberapa premis bangunan diarah keluar untuk menyelamatkan diri sebagai langkah keselamatan.
Seorang kakitangan awam bertugas di Wisma Negeri, Seremban, Izzuan Abdul Razak, 34, berkata, gegaran dirasainya sekitar pukul 9.45 pagi dan berlaku dalam tempoh lima saat.
“Ketika itu saya sedang mengikuti mesyuarat secara dalam talian di pejabat, kemudian meja bergoyang dan terasa gegaran.
“Selepas itu, kesemua rakan memaklumkan rasa perkara yang sama. Kemudian kami telah diminta turun ke tingkat bawah sebagai prosedur keselamatan,” katanya.
Menurutnya, pada pukul 10.24 pagi, pihak bomba memaklumkan keadaan selamat dan semua kakitangan dibenarkan untuk memasuki semula bangunan Wisma Negeri.
Gegaran yang sama turut dirasai orang ramai yang berada di Wisma Persekutuan, Menara MAINS dan Kompleks PKNNS dan di Pejabat Daerah dan Tanah, Port Dickson.
Penolong Pengarah Operasi, JBPM negeri, Zamhuri Zainnordin memaklumkan, pihaknya menerima laporan berlaku gegaran dan telah menjalankan pemeriksaan struktur di beberapa bangunan di negeri ini.
Melaka
Di Melaka, gegaran pada pukul 9.39 pagi itu turut dirasai di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin, Seri Negeri, Hang Tuah Mall dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Bandaraya Melaka.
Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai, JBPM negeri, Penguasa Bomba Zulkhairani Ramli mengesahkan menerima laporan di kawasan terlibat.
“Pasukan kecemasan bergegas ke lokasi untuk pemeriksaan keselamatan dan kebanyakan gegaran dirasai di bangunan bertingkat,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UTeM, Prof. Dr. Zulkifilie Ibrahim berkata, semua warga universiti meninggalkan bangunan dan turun ke kawasan lapang selepas merasai gegaran kuat.
“Kami di Bangunan Canselori, Kampus Induk UTeM merasai gegaran kuat antara empat hingga lima kali.
“Kami terus turun melalui tangga bangunan dan berkumpul diruang lapang dan memaklumkan kepada pihak berwajib untuk memastikan keselamatan semua warga universiti,” katanya.
Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam kenyataan memaklumkan, kejadian tersebut tidak akan menyebabkan ancaman tsunami kepada Malaysia.
“Kejadian berlaku pada jarak 76 kilometer (km) Barat Laut dari Payakumbuh, Indonesia dan pada kedalamannya 10 kilometer (km).
“Namun, tiada ancaman tsunami kepada Malaysia. Gegaran dirasai di bahagian Barat Semenanjung terutama di Selangor, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor,” kata kenyataan tersebut.- UTUSAN










