Gaduh: 4 penarik kereta didenda RM3,000 - Utusan Malaysia

Gaduh: 4 penarik kereta didenda RM3,000

SEBAHAGIAN daripada penarik kereta yang didakwa di Mahkamah Majistret Georgetown, Pulau Pinang hari ini atas pertuduhan terlibat dalam kejadian pergaduhan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu yang tular di dalam media sosial baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Empat penarik kereta didenda RM3,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan terbabit dalam rusuhan  di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, di sini pada 26 Januari lalu. 

Majistret Nur Melati Diana Abdul Wahab menjatuhi hukuman itu ke atas tertuduh iaitu Tan Cheng Hooi, 50; Khoo Boo Aik, 47; Lee Soon Aun, 36, dan Y. A. Dharanidharan, 30, selepas mereka mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan ke atas mereka. 

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa mengambil bahagian dalam satu rusuhan dan dengan sengaja merusuh menggunakan topi keledar, rantai besi dan mangga.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pukul 2.13 petang, 26 Januari lalu di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu menghala ke pusat bandar Georgetown. 

Mereka didakwa di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara lima tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali. 

Difahamkan, kesemua tertuduh membayar denda tersebut dan jika mereka gagal membayar denda  mereka akan dikenakan hukuman penjara tiga bulan lagi.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Nazri Abdul Rahim manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Kenzaly Goik. 

Sementara itu, empat lagi penarik kereta yang dituduh secara bersama atas kesalahan tersebut  mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan. 

Mereka ialah N. Lekkeswaran, 27; S. Surendren; 27; Muhammad Zaffar Megat Zabil, 22, dan Muhammad Faiez Ahmad, 21, yang diwakili peguam Malkit Kaw dan Dilsimran Kaur. 

Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin  RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Mac sebagai tarikh sebutan semula kes. 

Polis sebelum ini mengesahkan menahan seramai 10 penarik kereta susulan pergaduhan dipercayai akibat salah faham berhubung urusan menarik kereta di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu  pada 26 Januari lalu. 

Kejadian yang dirakam orang awam dan tular di media sosial berlaku selepas sebuah lori membawa muatan mozek dan dua buah kenderaan lain terbabit dalam kemalangan.

Hasil siasatan mendapati pergaduhan itu melibatkan sekumpulan kira-kira 20 orang terdiri daripada pekerja-pekerja penarik kereta berpunca daripada perselisihan faham berkaitan urusan menarik kenderaan-kenderaan yang terlibat. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya