Dua pacuan empat roda bertembung, satu maut, dua cedera

Dua pacuan empat roda bertembung, seorang maut , dua cedera

DUA kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux bertembung dan menyebabkan seorang maut di kilometer 61 Jalan Kuantan-Segamat, di Pekan, Pahang. - FOTO IHSAN PDRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Seorang lelaki maut apabila dua kenderaan jenis pacuan empat roda bertembung dalam kemalangan jalan raya di kilometer 61 Jalan Kuantan-Segamat di sini hari ini.

Mangsa yang maut dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu adalah, pemandu kenderaan jenis Toyota Hilux berwarna putih, Azemil Atoi, 32, berasal dari Kampung Paya Pelong Kerdau, Temerloh, dekat sini. 

Dua lagi mangsa yang menaiki Toyota Hilux berwarna hitam, Muhammad Izzat Yasim, 41, selaku pemandu dan penumpangnya Mohamad Amirul Afizan Muhamad Fikri, 21, hanya mengalami kecederan di bahagian kepala. 

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd. Zaidi Mat Zain berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu Toyota Hilux berwarna hitam yang disyaki memandu secara melulu sebelum terbabas masuk ke laluan bertentangan.

“Setibanya di lokasi kejadian, Toyota Hilux hitam yang dalam perjalanan menghala ke arah Segamat secara tiba-tiba terbabas masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan jenis kenderaan sama berwarna putih yang datang dari arah Segamat menuju ke Kuantan.

“Akibat kemalangan tersebut, mereka yang selamat dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk mendapat rawatan lanjut manakala mangsa yang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian serahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Zaidi dalam pada itu berkata, hasil siasatan polis mendapati pemandu yang terselamat itu mempunyai 17 saman pandu lalu dan lima saman halangan lalu lintas manakala mangsa yang maut dalam kemalangan tersebut mempunyai enam saman pandu laju.

“Ketika kejadian berlaku, keadaan jalan adalah lurus dan rata dengan tiga lorong membabitkan dua hala dengan garisan berkembar sebagai pembahagi jalan.

“Kiri dan kanan bahu jalan juga adalah berturap namun keadaan jalan adalah basah kerana hujan,” katanya.

Sementara itu, katanya, mayat mangsa yang maut telah dihantar ke Jabatan Forensik dan proses bedah siasat akan dijalankan selepas ujian calitan Covid-19 diperoleh. 

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan kenderaan yang terlibat akan di bawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan lanjut,” katanya. UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN