KULAI: Perikatan Nasional (PN) akan membariskan gabungan calon berpengalaman dan juga muka baharu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perbincangan berhubung agihan kerusi antara parti komponen telah selesai dan akan diumumkan esok.
“Kita akan ada gabungan dan keseimbangan calon baharu, calon muda, calon wanita serta calon berpengalaman yang akan bertanding atas tiket PN.
“Majoriti daripada calon-calon kita mempunyai kelayakan dan latar belakang profesional seperti peguam dan doktor,” katanya selepas menghadiri pertemuan dengan peneroka di Felda Taib Andak, di sini hari ini.
Tambahnya, kesemua calon telah melepasi pemeriksaan saringan yang ditetapkan pihaknya termasuk tiada rekod polis, tiada rekod rasuah dan lain-lain kesalahan.
Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut memberitahu, perbincangan agihan kerusi PN berjalan dengan lancar tanpa sebarang perselisihan berlaku.
“Rundingan agihan kerusi antara parti-parti komponen dalam PN dah selesai, tiada pergaduhan dan kesemua 56 kerusi sudah selesai dibahagikan,” jelasnya.
Sementara itu beliau berkata, PN mempunyai perancangan ekonomi 10 tahun untuk membangunkan Johor sebagai negeri utama dalam sektor ekonomi di seluruh negara.
“Perancangan ini akan melibatkan pelbagai sektor sekali gus akan memberi manfaat kepada semua pihak di setiap lapisan masyarakat,” jelasnya. – UTUSAN