Buku Gay is Okay!: 4 NGO buat laporan polis

Buku Gay is Okay!: 4 NGO buat laporan polis

MOHAMMAD Hafiz Baharudin (tiga dari kanan, baju hitam) bersama wakil empat NGO membuat laporan polis di IPD Seremban berhubung penerbitan buku Gay is Okay! A Christian Perspective. - FOTO/NOR SHAFAWATI YUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebanyak empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Negeri Sembilan membuat laporan polis berhubung penerbitan buku Gay is Okay! A Christian Perspective di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, di sini hari ini.

Antara NGO terbabit ialah Pertubuhan Al Ehsan Negeri Sembilan dan Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Negeri Sembilan.

Kesemua NGO terbabit yang diketuai Penyelaras Pejuang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat, Datuk Mohammad Hafiz Baharudin membuat laporan polis berkaitan perkara itu pada pukul 10.30 pagi tadi.

Mohammad Hafiz berkata, laporan polis itu dibuat bagi menolak sekeras-kerasnya penerbitan buku berkenaan yang dikhuatiri boleh memesongkan akhlak masyarakat di negara ini.

“Benda ini (buku Gay is Ok!) tidak masuk akal dan seperti virus yang perlu dihapuskan sebelum merebak. 

“Sebagai mewakili NGO Islam, saya terpanggil untuk mengambil tanggungjawab ini bagi menghalang sentimen yang mengancam akidah dan moral anak cucu bangsa Malaysia,” katanya ketika ditemui di IPD Seremban di sini hari ini.

Sehubungan itu, Mohammad Hafiz berkata, beliau mewakili rakyat Malaysia beragama Islam dan NGO di Negeri Sembilan berharap tindakan diambil ke atas pihak tersebut dan bersama-sama bergerak menghalang penerbitan buku itu.

Pada 18 Disember 2020, Kementerian Dalam Negeri telah mewartakan perintah larangan terhadap dua penerbitan, antaranya adalah buku Gay is OK! A Christian Perspective di bawah Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, berkuat kuasa 27 November 2020.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Noorin Badaruddin dalam keputusan semakan kehakiman yang difailkan oleh penulis buku tersebut, Ngeo Boon Lin dan penerbit buku berkenaan, Chong Ton Sin selaku pemohon telah menolak perintah larangan tersebut.

Menurut Hakim Noorin, perintah larangan tersebut tidak masuk akal kerana buku telah berada dalam pasaran lebih dari tujuh tahun dan penulisnya tidak diberikan peluang untuk untuk didengar (right to be heard) dan menjawab segala dakwaan berkaitan buku tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.