SUNGAI PETANI: Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Kedah mendesak Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan larangan ke atas buku bertajuk ‘Gay Is OK! A Christian Perspective‘.
Yang Dipertuanya, Syed Osman Mansor berkata, langkah tersebut perlu diambil segera untuk menghalang sebarang penerbitan, penjualan dan edaran buku tersebut yang secara terang-terangan mempromosikan aktiviti songsang Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).
“Saya tetap menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Selasa lalu tetapi saya terkejut dan kecewa kerana buku tidak bermoral itu telah diharamkan oleh KDN sejak dua tahun lalu.
“Sekarang ini, pihak mahkamah membatalkan perintah larangan ke atas buku bertajuk ‘Gay Is OK! A Christian Perspective‘ dan Perkasa memandang serius perkara tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Pada 22 Februari lalu, penerbit dan penulis buku ‘Gay is Okay! A Christian Perspective‘ berjaya membatalkan perintah Menteri Dalam Negeri yang mengharamkan buku itu dua tahun lalu.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Noorin Badaruddin dalam keputusannya membenarkan permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh penulis buku terbabit, Ngeo Boon Lin dan penerbitnya, Chong Ton Sin.
Perintah larangan ke atas buku itu dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri pada 27 November 2020 mengikut Seksyen 7 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dengan alasan kandungannya yang mungkin memudaratkan ketenteraman, moral dan kepentingan awam.
Syed Osman berkata, penjualan buku tersebut secara terbuka dibimbangi mendatangkan kegusaran dalam kalangan masyarakat di negara ini, khususnya kepada umat Islam walaupun dihadkan kepada penganut agama Kristian sahaja.
“Tidak perlu untuk kita normalisasikan LGBT di Malaysia yang agama rasmi adalah Islam, bermasyarakat ketimuran, bermoral dan penuh kesopanan.
“Perkasa Kedah mendesak agar penggubal undang-undang mengkaji semula dan memperbetulkan kelompongan dan kelemahan undang-undang sekiranya ada berkaitan dengan hal ehwal agama Islam,” katanya. – UTUSAN