PETALING JAYA: Penyediaan rumah mampu milik bukan bersifat tanggungjawab satu pihak sebaliknya ia memerlukan komitmen semua agensi bagi membina sebanyak 500,000 unit seperti disasarkan kerajaan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Menteri Perumahan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, oleh sebab itu, Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) dipengerusikan Perdana Menteri, DatuK Seri Ismail Sabri Yaakob dianggotai secara menyeluruh.
“Selain Kerajaan Pusat, kerajaan negeri dan badan berkanun, wakil pemaju swasta juga ada di dalam MPMMN.
“Kita berbincang panjang lebar dan saya rasa bersyukur apabila dalam soal perumahan untuk rakyat ini, semua pihak malah Menteri Besar dan Ketua Menteri yang hadir turut memberikan komitmen masing-masing.
“Di peringkat negeri kita ada pelbagai program perumahan rakyat seperti RUMAWIP di Wilayah Persekutuan,Selangorku di Selangor dan Rumah Mampu Milik Johor di Johor,” katanya ketika dihubungi.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan saranan Presiden Lembaga Perlindungan dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Dr. Lee Nan Sang agar kerajaan negeri turut membantu membina lebih banyak rumah mampu milik.
Diberi mandat
Mengulas lanjut, Reezal Merican berkata, KPKT diberi mandat sebagai agensi yang akan melaksanakan penyelarasan, pelaporan dan pemantauan bagi mencapai sasaran 500,000 unit rumah mampu milik menerusi Jawatankuasa Teknikal dan Pemandu yang ditubuhkan serta dianggotai oleh semua agensi penyedia perumahan yang terlibat.
“Program pembangunan rumah mampu milik di bawah KPKT seperti Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Mesra Rakyat (RMR) di bawah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) diteruskan khusus kepada golongan B40.
“Bagi golongan M40 pula, program perumahan PR1MA, Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) dan Kediaman SPNB tetap diteruskan bagi meningkatkan bekalan rumah mampu milik di negara ini,” katanya.
Bagi isu kenaikan kos bahan binaan, Reezal Merican berkata, perkara itu sedang diteliti selaras dengan hasrat Perdana Menteri di MPMMN yang mengarahkan agar masalah peningkatan kos, segera ditangani termasuk melihat sekiranya terdapat pewujudan kartel di rantaian perkhidmatan tersebut.
“Kita telah mengadakan sesi perbincangan pada 14 Februari lalu bersama Kementerian Kewangan, Kementerian Kerja Raya, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Persatuan Pemaju Perumahan serta Persatuan Kontraktor Binaan.
“Penyelesaian terbaik sedang diperhalusi dan akan diumumkan sebaik sahaja mendapat persetujuan daripada semua pihak,” katanya. – UTUSAN










