MELAKA: “Kami sekeluarga bertempiaran lari menyelamatkan diri selepas bumbung rumah bahagian depan tercabut diterbangkan ribut”.
Demikian jelas Hashim Latiff, 58, dari Kampung Krubong dekat sini mengenai kejadian ribut yang melanda kampungnya, Isnin lalu.
Menceritakan detik-detik cemas dalam kejadian kira-kira pukul 6.40 petang itu, Hashim berkata, sebelum ribut melanda, dia bersama 12 ahli keluarga termasuk isteri, anak, menantu dan cucu sedang menonton televisyen.
Jelasnya, tiba-tiba rumahnya bergoyang menyebabkan suasana menjadi hiruk-pikuk dengan jeritan anak dan cucu lari menyelamatkan diri.
“Ketika itu ribut membadai atap rumah bahagian depan hingga tercabut menyebabkan kami sekeluarga ada yang menyorok di bawah meja, di bawah katil dan mujurlah tiada seorang ahli keluarga mengalami kecederaan.
“Melainkan ipar saya dahinya luka terkena kayu yang diterbangkan ribut dan belum pernah kami alami setakat ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Hashim merupakan salah seorang mangsa daripada sembilan buah rumah yang terjejas di Kampung Krubong ekoran kejadian ribut yang melanda.
Kawasan lain yang terlibat adalah Kampung Tanah Merah, Kampung Lanjut Manis, Kampung Sungai Badau dan Kampung Ladang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput.
Hashim menambah, kejadian ribut itu adalah pertama kali berlaku di kampungnya.
Seorang lagi mangsa, Mohd. Yusof Mat, 60, berkata, kejadian tersebut benar-benar menakutkan kerana belum pernah kampung tersebut dilanda musibah seperti itu.
“Saya bersama isteri dan seorang anak berada di ruang tamu dan terkejut dengan bunyi hentakan kuat dan berdesing hingga menyebabkan kami lari ke luar rumah berlindung di rumah jiran.
“Habis kepingan zink atap rumah di dapur, ruang tamu dan bilik diterbangkan ribut. Mujurlah kami sekeluarga tidak cedera,” katanya. – UTUSAN










