JOHOR BAHRU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyerahkan kepada pihak polis bagi menyelesaikan siasatan berhubung kes melibatkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain yang didakwa terlibat dalam gangguan seksual.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, keputusan untuk mengenakan tindakan lanjut berkaitan kes tersebut akan diputuskan selepas siasatan selesai.
Beliau berkata, keputusan sama ada Rasman akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sedili atau dicalonkan semula juga hanya akan diketahui pada minggu depan ketika majlis pengumuman calon.
“Kita di peringkat parti menunggu keputusan siasatan pihak berkuasa. Kita pandang serius semua tuduhan itu, dalam waktu sama pihak yang dituduh juga ada hujah-hujah beliau, jadi lebih elok pihak berkuasa diberikan ruang siasatan sepenuhnya.
“Saya rasa elok kita tunggu pengumuman calon (sama ada Rasman dicalonkan). Kita ambil kira semua faktor dalam pertimbangan kita untuk menamakan semua calon. Saya berani jaminan bahawa proses saringan kita amat ketat di pelbagai sudut termasuk aspek integriti dan karekter diri. Kita akan pastikan calon tak diragui dari segi kredibiliti masing-masing,” katanya.
Beliau mengulas tindakan ke atas penyandang kerusi DUN Sedili yang berdepan isu gangguan seksual hingga mendorong kepada peletakan jawatan dan keluar parti Ketua Srikandi Kota Tinggi bersama 30 ahli lain.
Terdahulu, Wan Saiful hadir melancarkan program Jelajah Penerangan Isu Semasa di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar di DCM Hall, Taman Universiti di sini.
Wan Saiful memberitahu, parti juga bersedia untuk memberikan sepenuh kerjasama kepada pihak berkuasa sekiranya diperlukan berhubung kes tersebut.
Dalam perkembangan lain, Perikatan Nasional (PN) dijangka akan mengumumkan kesemua calon mereka beberapa hari selepas majlis pelancaran jentera Johor di Kota Tinggi, Jumaat ini selepas terpaksa ditangguhkan sebelum ini ekoran Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin disahkan positif Covid-19.
“Kita sudah ada tarikh yang sesuai untuk pengumuman calon. Senarai calon dan pembahagian kerusi juga kita sudah diputuskan, cuma ada satu dua kerusi lagi dalam perbincangan akhir. Dari segi pembahagian, kita ada pembahagian yang sihat antara parti gabungan dalam PN antara Bersatu, Pas dan Gerakan.
“Calon-calon PN terdiri daripada anak muda, wanita, muka baharu dan mereka yang bersih. Mereka melalui proses tapisan yang ketat supaya nanti calon-calon kita tidak diragui kredibiliti dan integritinya,” katanya.
Beliau turut menafikan timbul isu Pas tidak berpuas hati dengan jumlah dan kerusi yang dimiliki mereka pada PRN kerana setakat ini perbincangan berlaku dengan baik antara kedua-dua pimpinan parti. – UTUSAN