PETALING JAYA: Sebanyak satu juta pengunjung disasarkan dalam penganjuran festival raya terbesar yang diadakan pada bulan Ramadan nanti.
Jurucakap penganjur bersama, Ben Ali berkata, festival berlangsung selama 66 jam tanpa henti itu akan diadakan bermula 22 April di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec).
Katanya, objektif utama penganjuran karnival tersebut diadakan adalah bagi membantu menghidupkan semula sektor ekonomi para peniaga tempatan yang terjejas ekoran pandemik Covid-19 yang melanda.
“Festival ini juga terbuka untuk disertai kepada semua jenis industri, seperti makanan, minuman, kuih muih, pakaian, produk kecantikan dan pelbagai lagi.
“Apa yang paling penting kami mahu membantu peniaga yang terkesan ketika berlaku penularan wabak Covid-19. Malah, kami sebagai penganjur menyediakan pelan pembayaran ansuran serta pinjaman kepada peniaga yang berminat untuk berniaga pada festival ini nanti,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Festival berkenaan dianjurkan dengan kerjasama Mitec dan Absolut Event & Management Sdn. Bhd. serta My Events International Sdn. Bhd.
Dalam pada itu, Ben Ali berkata, pihak penganjur akan menyediakan dua dewan pempamer yang mampu memuatkan seramai 5,000 pengunjung dalam satu masa dan satu dewan tambahan akan dibuka jika berlaku kesesakan.
“Kami akan memastikan prosedur operasi standard (SOP) dilaksanakan secara lebih teliti seperti mengimbas masuk menerusi sistem MySejahtera selain menyediakan paramedik dan ambulans sebagai langkah penjagaan.
“Kami juga sedang berbincang dengan beberapa syarikat untuk menaja kit ujian air liur kepada pengunjung dan terdapat juga syarikat yang telah bersetuju untuk menaja pelitup muka kepada pengunjung” jelasnya.
Tambah Ben Ali, beberapa barisan artis turut dijangka akan turut membuka gerai jualan antaranya Datuk Siti Nurhaliza, Fatah Amin, Nelydia Senrose, Uqasha Senrose, Raysha Rizrose dan Mira Filzah.-UTUSAN