SEREMBAN: Seorang bayi perempuan berusia 15 bulan ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan kepalanya tersangkut pada buaian ketika di rumah pengasuh di Bandar Sri Sendayan di sini semalam.
Bayi tersebut, Nour Rania Asyifaa Yuseri kemudian disahkan meninggal dunia pada pukul 4.30 petang oleh doktor yang bertugas di Klinik Kesihatan Sendayan selepas pengasuhnya mendapati dia gagal bernafas.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, hasil siasatan awal mendapati selepas diberikan susu pada pukul 12.30 tengah hari, bayi berkenaan ditidurkan dalam buaian di sebuah bilik bersama dua kanak-kanak lain.
“Selepas itu pengasuh keluar dari bilik pada pukul 2 petang untuk tujuan tugasan lain kemudiannya pada 3 petang pengasuh masuk semula ke bilik dan mendapati bayi itu dalam keadaan kepala tersangkut pada kain buaian.
“Pengasuh terus mengambil bayi itu dari buaian dan menjalankan ujian proses bantuan pernafasan (CPR), tetapi dia gagal bernafas semula dan terus membawanya ke Klinik Kesihatan Sendayan pada pukul 3.45 petang sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Nanda, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku di sebuah rumah teres satu tingkat yang dijadikan rumah penjagaan atau pengasuh kanak-kanak.
“Bayi itu ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di bilik kedua rumah pengasuh di mana bahagian leher dan kepalanya telah terkeluar daripada buaian dan tergantung pada kain buaian manakala badannya masih berada dalam buai.
“Ketika kejadian, dua pengasuh berada di dalam rumah bersama-sama 15 orang kanak-kanak lain termasuk bayi itu,” katanya yang memberitahu tempat kejadian tidak dipasang kamera litar tertutup (CCTV).
Nanda berkata, rumah pengasuh itu yang dimiliki oleh kedua-dua pengasuh berusia 37 dan 29 tahun itu telah beroperasi sejak penghujung 2019 dan menjaga kanak-kanak berusia enam bulan hingga tujuh tahun.
Tambah beliau, bayi itu dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini untuk tujuan bedah siasat pagi ini dan sehingga kini masih tidak diketahui punca sebenar kematian mangsa. – UTUSAN