BETONG: Penduduk di rumah panjang dinasihati tidak menternak babi buat masa ini memandangkan beberapa kawasan di negeri ini diisytiharkan sebagai kawasan terjejas Demam Babi Afrika (ASF).
Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, mereka sepatutnya tidak berbuat demikian buat masa ini sehingga penyakitnya hilang.
“Anda boleh mula menternak apabila Jabatan Perkhidmatan Veterinar menyatakan selamat untuk berbuat demikian,” katanya
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan tiga tahun sekali (TDC) cawangan kecil Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kubal Tengah di Rh. Mendit Unsu di Penom, Spaoh dekat sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab banyak laporan daripada ahli parti bahawa kebanyakan babi mereka telah mati akibat ASF.
Beliau menasihatkan mereka yang haiwannya kekal sihat supaya mengambil langkah berjaga-jaga untuk melindunginya.
“Jangan benarkan orang luar mengunjungi kandang babi anda dan jangan kunjungi kandang kepunyaan orang lain.
“Lapor ke pejabat veterinar terdekat jika ternakan anda menunjukkan tanda-tanda terjejas,” kata beliau.
Sementara itu beliau menggesa shlu-ahli parti untuk terus memperkukuh parti di peringkat akar umbi.
Mengenai lebih 3,000 pengundi baharu di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban, Douglas mahu semua ahli PBB di sini cuba untuk mendekati mereka dan pelawa mereka menjadi ahli PBB.
“Ketahui di mana mereka tinggal atau bekerja. Jemput mereka menjadi ahli PBB,” katanya. UTUSAN