Anjing liar ancam penduduk Taman Nirwana

Anjing liar ancam penduduk Taman Nirwana

BANGKAI itik peliharaan Mohamad Shahril Abu yang dipercayai digigit anjing liar yang berkeliaran di Taman Nirwana, Batang Tiga, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Penduduk di Taman Nirwana, Batang Tiga dekat sini, resah berikutan kemunculan lebih 20 ekor anjing liar sejak beberapa bulan lalu di kawasan perumahan mereka.

Sejak kehadiran haiwan tidak mempunyai tuan itu, banyak insiden kucing milik penduduk mati dan cedera digigit, selain itik serta ayam yang diternak turut mengalami nasib sama.

Tidak terkecuali penduduk yang keluar bekerja selepas waktu Subuh sering dikejar anjing tersebut ketika melalui tempatnya berkumpul.

Ketika ditemui Utusan Malaysia, seorang penduduk, Siti Anum Che Abd. Wahab, 33, berkata, dua ekor kucing miliknya mati digigit anjing terbabit dalam dua kejadian selang seminggu, baru-baru ini.

Menurutnya, kejadian yang menimpa haiwan peliharaannya itu berlaku antara pukul 4.00 hingga 5.30 pagi.

“Saya pernah dikejar kumpulan anjing ini sewaktu hendak keluar bekerja ke Kuala Lumpur pada pukul 5 pagi.

“Saya minta pihak bertanggungjawab khususnya Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) atau Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menangkap haiwan itu segera,” katanya ketika ditemui.

Seorang lagi penduduk, Mohamad Shahril Abu, 56, berkata, dua ekor itik di dalam sangkar di belakang rumahnya mati selang sehari, kerana digigit haiwan liar tersebut.

“Sebenarnya banyak binatang peliharaan penduduk terutama kucing mati digigit haiwan ini. Saya harap pihak berwajib bertindak walaupun belum ada lagi kejadian penduduk digigit anjing ini,” katanya.

Bagi seorang pesara, Yusof Othman, 69, dia pernah melihat seorang ahli kariah yang hendak menunaikan solat Subuh di Masjid Lama Batang Tiga, dikejar anjing berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN