KEMAMAN: Taman Eko Rimba Air Menderu di Kertih di sini ditutup kepada pengunjung berkuat kuasa semalam susulan ancaman harimau belang.
Wakil Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Chabang, Ahmad Thalhah Ubaidillah Amri berkata, penutupan kawasan rekreasi berdekatan penempatan mereka itu bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
Katanya, serangan harimau di kampung mereka bermula sejak awal Januari lalu, malah sehingga kini masing-masing dua lembu dan anjing milik penternak menjadi mangsa.
“Sebelum ini, harimau hanya berkeliaran di kawasan kebun, tetapi sejak kebelakangan ini ada penduduk yang mendakwa terjumpa pak belang berhampiran dengan kawasan perkelahan.
“Tiga hari lalu, dua anjing peliharaan penternak bagi menjaga kebun mati dengan bangkainya mempunyai kesan gigitan haiwan buas,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.
Bagaimanapun, Ahmad Thalhah Ubaidillah berkata, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sudah memasang sebuah perangkap untuk menangkap harimau berkenaan.
Di samping itu, katanya, pihak polis turut membuat pemantauan bagi memastikan pengunjung tidak berkelah di Taman Eko Rimba Air Menderu.
Berdasarkan makluman Jabatan Perhutanan negeri, penutupan Taman Eko Rimba Air Menderu berkuat kuasa hingga tarikh yang akan dimaklumkan kemudian. – UTUSAN