LUMUT: Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Perak membuat laporan polis terhadap seorang pemilik sebuah portal yang menyiarkan berita kononnya perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sudah selesai dan Datuk Seri Najib Razak dibebaskan daripada tuduhan berkaitan kes tersebut.
Laporan itu dibuat oleh Pengarah Komunikasi Pemuda Amanah Perak yang juga Naib Ketua Pemuda Amanah Kawasan Lumut, Mohd. Ikhmal Mohd. Iskandar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di Seri Manjung di sini petang ini.
Dalam laporan itu, Mohd. Ikhmal berkata, ketika berada di rumahnya di Seri Manjung, kelmarin, beliau melihat video dalam aplikasi TikTok yang menyiarkan kononnya perbicaraan 1MDB sudah selesai.
Menurut beliau, video tersebut direka di sebuah paparan portal politiknegaraku.com dan tinjauan di portal itu hari ini mendapati ia sedang diselenggara.
Bagaimanapun, jelasnya, berdasarkan carian di whois.com mendapati portal tersebut didaftarkan atas nama seorang individu beserta nombor telefon bimbitnya.
Berikutan itu, menurutnya, laporan itu dibuat bertujuan agar pelaku tersebut dapat diambil tindakan di bawah Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) kerana menimbulkan kebimbangan, kekeliruan dan menggugat ketenteraman awam.
Sementara, tinjauan setakat pukul 4 petang tadi mendapati berita itu turut dikongsi dan dimuat naik sebuah portal dikenali The coverage pada 16 Februari dengan tajuk ‘Breaking News: Kes 1MDB Tamat Serta-Merta – Hakim Putuskan Tiada Bukti Kukuh Untuk Dakwa Najib’.
Laporan itu turut menyebut: “Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah enggan meneruskan lagi perbicaraan penyewelengan dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Collin telah menetapkan bahawa tiada bukti asas yang kukuh untuk sabitkan kesalahan kepada bekas Perdana Menteri DS Najib Razak.
“Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib memberitahu mahkamah kebanyakan bukti yang diutarakan oleh pendakwa adalah bersifat tidak jelas dan boleh direka,” dakwa berita itu. – UTUSAN