KUANTAN: Seorang remaja 17 tahun antara 52 orang ditahan dalam serbuan Op Sarang Khas, yang membabitkan empat lokasi tumpuan khususnya di kawasan Felda di daerah ini.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, kesemua individu yang ditahan melibatkan tiga wanita dan 49 lelaki berusia antara 17 tahun hingga 60 tahun.
Menurutnya, hasil soal siasat awal mendapati remaja berkenaan yang ditangkap dalam operasi khas tersebut hari ini mula terbabit dalam penagihan dadah ketika berusia 14 tahun lagi.
“Suspek itu sendiri mengaku dia terlibat ketika di awal remaja namun selepas berhenti daripada persekolahan dia mengambil keputusan untuk terus melibatkan diri dalam penyalahgunaan dadah sehingga sekarang.
“Dia (suspek) terpaksa bekerja di kebun-kebun untuk mendapatkan wang bagi memperoleh bekalan dan meneruskan aktiviti penagihannya,” katanya dalam sidang akhbar Op Sarang Khas, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Kuantan, di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) di sini hari ini.
Operasi ini turut dibantu oleh agensi sahabat iaitu Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
Mengulas lanjut, Wan Zahari berkata, operasi dilakukan untuk menggempur sarang-sarang pengedar dan penagih dadah (port) yang dilihat semakin berleluasa di kawasan-kawasan Felda.
Katanya, tumpuan operasi kali ini membabitkan ‘port-port’ di kawasan Felda Bukit Goh, Bukit Kuantan, Bukit Sagu dan Panching Utara dan juga serbuan dari rumah ke rumah.
“Hasil operasi ini, pihak polis berjaya menahan dua orang disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah berbahaya jenis pil WY dan syabu di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman gantung mandatori.
“Seramai dua orang ditahan mengikut Seksyen 39A (1) ADB 1952 kerana disyaki memiliki dadah jenis heroin dan syabu dan seorang individu lagi turut memiliki dadah yang sama mengikut Seksyen 39A (2) ADB 1952 manakala 10 individu ditahan mengikut Seksyen 12(2) akta sama.
“Bagi kesalahan positif air kencing (urine), seramai 29 individu ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952, dan lapan tangkapan membabitkan Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 kerana disyaki memiliki cecair ketum,” katanya.
Dalam pada itu, Wan Zahari memberitahu bahawa Ops Sarang tidak akan berhenti dan dilakukan dalam beberapa siri lagi.
“Pihak polis berjaya merampas 16.98 gram heroin, 9.09 gram syabu, 55.20 gram pil WY dan lima liter air ketum dengan nilai anggaran keseluruhan dadah yang dirampas berjumlah RM5,370. Daripada semakan yang dibuat, semua penagih ini didapati memiliki rekod jenayah lampau dan dikategorikan sebagai penagih dadah berulang.
“Semua suspek akan dikenalpasti dan diambil tindakan di bawah langkah pencegahan khas (LLPK) 1985 di bawah ADB 1952 dan Seksyen 39C ADB 1952,” katanya. – UTUSAN