SEREMBAN: Lebih 50 buah rumah terjejas dalam kejadian ribut yang berlaku di daerah ini dan Tampin, petang semalam.
Pegawai Daerah Seremban, Mohd. Nizam Tajul Arus berkata, di daerah ini, sebanyak 26 buah rumah dan sebuah balai raya rosak dalam kejadian ribut yang berlaku kira-kira pukul 4.30 petang itu.
“Sebanyak 14 buah rumah dan sebuah balai raya rosak di Kampung Baru Rahang manakala sebanyak 12 buah rumah rosak melibatkan Taman Cempaka, Taman Seri Pagi, Taman Rasa Sayang dan Kampung Sentosa Jaya.
“Pejabat Daerah dan Tanah Seremban akan menilai anggaran kerosakan rumah-rumah yang terlibat untuk dibaik pulih serta merta,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, kira-kira 30 rumah membabitkan lebih 130 penduduk di Felda Jelai 1 hingga 4 dekat Gemas, mengalami kerosakan akibat hujan lebat dan ribut yang berlaku.
Kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, mengakibatkan bumbung rumah diterbangkan angin selain terdapat kenderaan dihempap pokok.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gemas, Mohd. Farid Abu Bakar, setakat ini tiada kecederaan dilaporkan namun hanya empat orang daripada sebuah keluarga ditempatkan di Kuarters Felda Jelai 1 selepas rumah mereka rosak teruk. – UTUSAN