Tiga beradik tak pernah dihalang jumpa ibu mereka - Utusan Malaysia

Tiga beradik tak pernah dihalang jumpa ibu mereka

Mufti Perlis, Datuk Mohd. Asri Zainul Abidin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Tidak pernah ada sesiapa atau mana-mana pihak menghalang tiga beradik di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumpa ibu mereka malah perkara itu tiada kaitan dengan pihak berkuasa agama Perlis.

Sambil sudah menjangkakan keputusan Mahkamah Tinggi kelmarin yang memerintahkan tiga beradik yang kini di bawah jagaan persendirian JKM dikembalikan kepada ibu kandungnya, Mufti Perlis, Datuk Mohd. Asri Zainul Abidin berkata, pihak berkuasa Islam negeri ini telah menyerahkan kanak-kanak tersebut kepada ibu mereka di Balai Polis Kangar pada 14 Januari lalu tanpa perlu arahan mahkamah.

Menurut beliau, sebelum ini, wanita itu tidak mengambil anak-anaknya kerana dua daripada mereka enggan mengikutnya sehingga menimbulkan ketegangan.

“Susulan itu, wanita tersebut sendiri membuat keputusan untuk menyerahkan anak-anak itu kepada JKM dan bukan pihak jabatan agama.

“JKM kemudian membawa kanak-kanak tersebut tinggal di asrama Kedah. Saya difahamkan dengan situasi sekarang dengan peningkatan kes Covid-19, prosedur serta undang-undang yang ketat menyukarkan dia (wanita itu) melawat anak-anaknya.

“Tiada sesiapa yang menghalang wanita itu berjumpa anaknya dan perkara itu tidak ada kaitan dengan pihak berkuasa agama Perlis kerana anak-anak itu di bawah jagaan JKM,” katanya ketika ditemui semalam.

Kelmarin, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan tiga beradik berkenaan dikembalikan kepada ibu kandungnya serta-merta.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan habeas corpus dikemukakan ibu tunggal, Loh Siew Hong,34.

Tuntut hak penjagaan

Sementara itu, Mohd. Asri turut mempersoalkan tindakan ibu kepada anak-anak tersebut yang tidak menuntut hak penjagaan selama tiga tahun.

Katanya, penjaga kanak-kanak tersebut yang dikenali sebagai ustazah Nazirah sendiri menghubungi Siew Hong untuk memaklumkan di mana lokasi mereka berada agar ibu kandung itu boleh bertemu anak-anaknya.

“Tiba-tiba ada pihak yang membuat cerita seolah-olah ustazah itu menculik dan merampas anak-anak Siew Hong. Sepatutnya mereka perlu berterima kasih kepada ustazah tersebut kerana menyara kebajikan termasuk makan minum serta pendidikan sepanjang bekas suaminya dipenjara sejak September 2020,” katanya.

Jelas Mohd. Asri lagi, ustazah tersebut melakukan semua perkara tersebut tanpa mengetahui kewujudan Siew Hong.

Menurut beliau, ini adalah satu manipulasi yang dimainkan pihak-pihak politik tertentu yang bertujuan mencetuskan ketegangan agama dan kaum yang akhirnya membangkitkan kemarahan masyarakat.

“Pihak kita tiada masalah sekiranya anak-anak tersebut memilih untuk menganut agama Hindu namun jika mereka memilih agama Islam, mereka akan memperjuangkan haknya untuk beragama Islam,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×