25 PATI Indonesia diberkas cuba masuk Malaysia - Utusan Malaysia

25 PATI Indonesia diberkas cuba masuk Malaysia

SEBAHAGIAN pati ditahan oleh Pasukan Polis Marin Pelabuhan Klang selepas terkandas ketika dikejar di perairan Sungai Buloh di Kuala Selangor, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Cubaan sebuah bot pom-pom membawa 25 pendatang asing tanpa izin (PATI) melarikan diri ketika dikejar pihak berkuasa gagal apabila dicekup di perairan Sungai Buloh di sini, hari ini.

Dalam kejadian pukul 6.30 pagi, kesemua warga Indonesia berusia 20 hingga 53 tahun  ditahan selepas bot berkenaan terkandas akibat rosak.

Selain 22 penumpang, Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang turut menahan seorang tekong dan dua awak-awak bagi membantu siasatan.

Komander PPM Wilayah 1, Asisten Komisioner Shamsol Kassim berkata, operasi itu dijalankan hasil maklumat mengenai bot pom-pom yang menjalankan aktiviti penyeludupan migran melalui  jalan laut.

Katanya, bot itu melarikan diri selepas menyedari kehadiran dua bot peronda PPM di perairan tersebut.

“Pasukan kita kemudian mengejar bot berkenaan dan berjaya memintasnya kira-kira 6.8 batu nautika dari perairan Sungai Buloh.

“Bot pom-pom itu terkandas akibat mengalami  kebocoran dan kerosakan enjin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Shamsol, pemeriksaan  mendapati kesemua PATI termasuk tiga wanita itu tiada memiliki dokumen perjalanan sah.

Tambah beliau, siasatan awal mendapati kesemua PATI berkenaan dikenakan bayaran berjumlah 4 juta rupiah (RM1,200) hingga 5 juta rupiah (RM1, 500) kepada ejen di Indonesia untuk memasuki Malaysia.  – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN