KUBANG PASU: Polis memeriksa seramai 114 pemandu lori yang melalui laluan eksport di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), Bukit Kayu Hitam, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Rodzi Abu Hassan berkata, operasi diketuai Ketua Polis Bala ICQS Bukit Kayu Hitam, Inspektor Wan Mohd. Fadillah Mat itu dilaksanakan selama hampir empat jam iaitu bermula 5.30 petang hingga 8 malam.
Menurutnya, pemeriksaan itu dijalankan ke atas pemandu lori kedua-dua warganegara iaitu Malaysia dan Thailand.
Katanya, pemeriksaan terhadap kesemua pemandu berusia antara 30 hingga 49 tahun itu tidak menemukan sebarang barangan yang menyalahi undang-undang.
“Bagaimanapun, hasil daripada ujian ujian dijalankan, seorang pemandu warganegara Thailand berusia 31 tahun ditahan kerana positif dadah jenis methamphetamine.
“Lelaki itu ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kubang Pasu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Selain itu, beliau memberitahu, sebanyak sembilan saman trafik dikeluarkan kepada pemandu terlibat ekoran pelbagai kesalahan di bawah peruntukan Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Operasi ini akan diteruskan dari semasa ke semasa di pintu sempadan itu untuk mencegah aktiviti berkaitan penyeludupan, penyalahgunaan dadah dan jenayah rentas sempadan,” katanya. – UTUSAN










