SPRM siasat aduan terhadap Suruhanjaya Sekuriti - Utusan Malaysia

SPRM siasat aduan terhadap Suruhanjaya Sekuriti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan menerima aduan membabitkan salah laku dan jenayah rasuah oleh pengurusan tertinggi Suruhanjaya Sekuriti (SC) serta Ahli Lembaga Pengarahnya.

Satu sumber memberitahu Utusan Malaysia, SPRM kini dalam peringkat kajian aduan yang dibuat sebelum siasatan lanjut dibuat.

“Difahamkan, SPRM sedang mengkaji aduan yang diterima mereka sebelum siasatan dijalankan.

“Penelitian dan kajian berkenaan meliputi semua aspek termasuk terhadap bukti-bukti yang dikemukakan pengadu sebelum kertas siasatan dibuka sekiranya didapati wujud kesalahan,” katanya di sini semalam.

Pada 6 Januari lalu, SC meminta Ketua Pesuruhjaya SPRM , Tan Sri Azam Baki dan pihak yang mendakwanya memiliki saham supaya menjelaskan serta mengemukakan bukti-bukti berhubung isu pemilikan tersebut alam beberapa syarikat.

Keperluan itu adalah bagi siasatan SC di bawah Seksyen 25 Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA), setiap akaun sekuriti yang dibuka dengan depositori pusat mestilah atas nama pemilik benefisial sekuriti yang didepositkan atau atas nama penama yang diberi kuasa.

Di samping itu, penjelasan Azam diperlukan mengikut Seksyen 29A SICDA mensyaratkan bahawa semua urus niaga dalam sekuriti seharusnya hanya dilaksanakan oleh pemilik benefisial sekuriti itu atau penama yang diberi kuasa.

Tuntutan penjelasan itu diperlukan selepas Azam dalam sidang akhbarnya baru-baru ini menjelaskan bahawa pemilikan saham yang mencetuskan kontroversi berlaku susulan adiknya, Nasir Baki menggunakan akaunnya untuk membeli saham.

Dalam pada masa sama, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan kepada SPRM mengenai salah laku dan jenayah rasuah membabitkan pengurusan tertinggi SC semalam.

Menerusi laporan berkenaan yang dibuat empat anak muda mewakili rakyat Malaysia prihatin mendakwa mempunyai bukti kukuh dan tidak menafikan salah laku ini turut membabitkan ahli politik yang berjawatan penting dalam kerajaan.

SPRM digesa menjalankan siasatan kerana banyak syarikat-syarikat di negara ini menjadi mangsa termasuk juga orang awam.

Dalam aduan yang dibuat, sebanyak tiga kes akan dirujuk kepada SPRM iaitu kes pertama melibatkan anak membabitkan pengurusan tertinggi SC yang turut mendapat jawatan tertinggi dalam syarikat yang disiasat oleh SC dimana siasatan tersebut ditutup oleh SC.

Bagi kes kedua melibatkan konflik kepentingan ahli lembaga pengarah SC membabitkan saham bernilai RM28.2 juta yang mana ahli lembaga pengarah tersebut memiliki kepentingan di dalam syarikat yang mempunyai hubungan kerja dengan SC.

Kes ketiga pula melibatkan pegawai-pegawai tinggi SC yang menerima rasuah sebagai balasan menutup kes siasatan SC ke atas syarikat awam yang melakukan kesalahan insider trading. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN