KUANTAN: Kenyataan Khalid Abdul Samad bahawa Cameron Highlands tidak dilanda banjir pada pertengahan Disember tahun lalu disanggah Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd. Nor.
Beliau berkata, kenyataan Ahli Parlimen Shah Alam itu tidak benar kerana beliau sendiri turun ke kawasan terjejas banjir di Cameron Highlands.
“Walaupun Orang Asli terkenal dengan ilmu kebatinannya, tetapi saya tidak mengamalkan ilmu hantu raya, berada di dua tempat dalam masa sama.
“Saya sebagai Ahli Parlimen Cameron Highlands turun padang dan membantu mangsa banjir,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam Mesyuarat Khas Penggal Keempat Parlimen Ke-14 bagi Dewan Rakyat pada 20 Januari lalu, Khalid membangkitkan ucapan Ahli Parlimen sepatutnya disusun mengikut kawasan yang terjejas musibah banjir pada 18 Disember tahun lalu.
Khalid turut menyatakan kawasan seperti Cameron Highlands tidak terlibat banjir, begitu juga Lenggong di Perak.
Ketika Mesyuarat Khas itu, Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik turut mempersoalkan ketiadaan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail ketika banjir sebaliknya memuji Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang dikatakan turun padang menyelamatkan mangsa banjir.
Ramli turut menyanggah kenyataan Maszlee sambil menyatakan, Wan Rosdy bermula 19 Disember tahun lalu telah turun meninjau dan bertemu rakyat di pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah terjejas banjir di negeri ini.
“Menteri Besar Pahang juga tidak mengamalkan ilmu hantu raya kerana beliau turun sendiri bagi membantu rakyat yang terjejas banjir,” katanya. – UTUSAN