Rakyat Johor perlu pastikan ‘kluster mahkamah’ tak kembali berkuasa

Rakyat Johor perlu pastikan ‘kluster mahkamah’ tidak kembali berkuasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diadakan, rakyat khususnya pengundi di negeri ini perlu memastikan kluster mahkamah tidak lagi kembali memegang tampuk pemerintahan.

Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam satu kenyataan memberitahu, hal itu kerana gerakan menjatuhkan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri ketika itu berlaku selepas mahkamah menjatuhkan hukuman terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut kenyataan itu, majoriti rakyat termasuklah pengundi Johor sedang menunggu UMNO yang bersih dan bukannya pemimpin UMNO yang korup.

“Spekulasi PRN Johor semakin kuat dengan khabar angin bahawa surat pembubaran DUN telah diserahkan kepada Speaker. Kematian bekas Menteri Besar, Datuk Osman Sapian menyebabkan kerajaan negeri hanya ada satu kelebihan majoriti.

“Ia terlalu tipis walaupun mendapat jaminan daripada Pakatan Harapan (PH) bahawa mereka menghormati memorandum dan tidak akan mengganggu kestabilan. Dalam politik, jangan terlena dengan janji kerana prinsipnya hanya dua iaitu ‘membunuh’ atau ‘dibunuh.’

“Yang lebih menarik untuk dilihat adakah kerjasama antara UMNO dan Bersatu masih dapat dipertahankan atau UMNO merasa telah kuat dan akan terus bergerak solo seperti di Melaka,” jelas kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu lagi, walaupun UMNO tahu peratusan yang keluar mengundi dalam PRN Melaka lalu adalah rendah, tetapi mereka tetap mengharapkan kemenangan dua pertiga majoriti akan berulang di Johor.

“Sedangkan kita semua tahu rakyat menolak UMNO yang korup dan menunggu UMNO yang bersih. Namun, adakah ia akan terjadi. Kita lihat yang lantang bersuara di Johor adalah penyokong kluster mahkamah dan mereka yang tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

“Sebenarnya kita berharap UMNO dapat bekerjasama dengan Bersatu dan Pas atas semangat perpaduan Melayu Islam. Namun, jika UMNO merasa sudah kuat, maka pengundi perlu keluar beramai-ramai bagi memastikan kluster mahkamah tak kembali berkuasa,” jelas kenyataan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN