KUANTAN: Seorang pensyarah kerugian RM332,200 dipedaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada Disember lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa berusia 49 tahun pada mulanya menerima panggilan daripada suspek pada 11 Disember lalu menyatakan namanya digunakan dalam pendaftaran syarikat.
Menurut beliau, susulan mempunyai syarikat, mangsa dikehendaki membuat pembayaran cukai berjumlah RM33,000 dengan segera.
Kata Mohd. Wazir, mangsa pada awalnya menafikan perkara itu namun kemudian terpedaya selepas setuju memindahkan semua wang simpanannya ke akaun yang diberikan suspek kononnya untuk semakan Bank Negara Malaysia.
“Bermula 11 Disember 2021 hingga 4 Januari lalu mangsa telah membuat sebanyak 19 transaksi kepada suspek yang semua berjumlah RM300,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Wazir berkata, mangsa yang merasakan ditipu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu sebagai pegawai LHDN dan memperdaya mangsa.- UTUSAN










