PETALING JAYA: Seramai 21,000 pengusaha bas sekolah di seluruh negara mengeluh apabila terpaksa menyediakan kos tambahan antara RM1,000 hingga RM2,000 bagi setiap kenderaan sebelum menyambung semula insurans dan cukai jalan yang didakwa meningkat sehingga 200 peratus mulai tahun ini.
Perkara tersebut, belum lagi mengambil kira kerenah segelintir ibu bapa yang mendesak pengusaha bas mengurangkanyuran bulanan sehingga 50 peratus bagi setiap murid atau pelajar yang menggunakan perkhidmatan itu susulan sistem penggiliran sekolah.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Gabungan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia, Mohd. Rofik Mohd. Yusof berkata, caj dikenakan syarikat insurans yang diistilah sebagai loading kepada pengusaha bas sekolah didakwa langsung tidak berasas dan hanya mengambil kesempatan semata-mata.
“Syarikat insurans mengenakan loading sehingga 200 peratus daripada kadar premium asas kononnya sebab kenderaan kami berisiko, walhal bas sekolah jarang membuat tuntutan akibat kemalangan.
“Persoalannya mengapa syarikat insurans mahu mencengkam pengusaha bas sekolah ketika kami mahu cuba bangkit semula,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini kelmarin.
Menurut beliau, kadar premium asas untuk setiap bas sekolah kira-kira RM500, belum termasuk pelbagai caj lain termasuk loading yang boleh mencecah sehingga RM2,000.
Loading adalah caj tambahan yang dikenakan ke atas kadar premium asas untuk menutup risiko tinggi terhadap setiap kenderaan.
Antara faktor risiko untuk loading adalah umur pemandu, kenderaan, rekod tuntutan dan jenis kegunaan termasuk berprestasi tinggi iaitu bagi kegunaan sukan.
Dalam pada itu, Mohd. Rofik berkata, kerajaan digesa memantau dan mewujudkan garis panduan bagi setiap caj loading yang sepatutnya dikenakan kepada pemilik kenderaan.
“Siapa yang kawal penetapan loading ini? Mengapa tidak kerajaan yang kawal dan ia tidak sepatutnya dinaikkan sesuka hati,” ujarnya.
Sementara itu, seorang pengusaha bas sekolah, Sakila Yaani dari Seremban, Negeri Sembilan berkata, dia kini semakin tersepit dengan kos-kos yang perlu ditanggung sehingga menyebabkan sukar baginya untuk meneruskan operasi.
Kata wanita itu, jika sebelum ini mereka tertekan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pelaksanaan penggiliran pelajar mengikut tingkatan kini tekanan itu ditambah lagi dengan kos loading.
“Beban kami tidak hanya di situ apabila kalangan ada ibu bapa yang culas membayar tambang bulanan kerana sesi persekolahan yang tidak penuh jadi mereka cuba elak bayar tambang penuh,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan memantau harga yang dikenakan syarikat insurans dengan membuat penetapan bagi sebarang pakej yang ditawarkan terutama membabitkan bas sekolah mahupun kenderaan awam.
Seorang lagi, pengusaha bas dikenali sebagai Ahmad di Shah Alam berkata, dia mempunyai dua bas sekolah menjangka tidak mampu bertahan dengan caj tambahan bagi dua buah bas dimilikinya.
Menurutnya, sejak pandemik dan sekolah dibuka semula secara berperingkat, tempahan untuk menggunakan bas sekolah merudum kerana sekolah tidak dibuka sepenuhnya.
“Saya rasa saya kena jual dua bas milik saya kerana nampak tiada jalan untuk mengoperasinya apabila ada khabar setiap akan dikenakan caj tambahan ketika mahu menyambung semula insuran.
“Penumpang bas yang saya terima dalam 30 peratus sahaja jadi di mana saya mahu cari duit hingga RM4,000 untuk membeli insuran,” katanya yang mengeluh.
Seramai 21,000 pengusaha bas sekolah di seluruh negara berdepan dengan kos tambahan yang dikenakan oleh syarikat insurans terbabit.
Selain kos tambahan daripada syarikat insurans, pengusaha bas sekolah juga turut terbeban dengan karenah segelintir ibu bapa yang mahukan caj yuran dikenakan iaitu antara RM70-RM80 sebulan dipotong separuh bagi murid-murid yang mengikuti sistem penggiliran persekolah.- UTUSAN










