Lebih 80,000 telur penyu agar diselamatkan sejak 2016 - Utusan Malaysia

Lebih 80,000 telur penyu agar diselamatkan sejak 2016

KEMPEN penajaan sarang penyu anjuran Lang Tengah Turtle Watch (LTTW) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Lebih 80,000 telur penyu agar dan tuntung laut berjaya diselamatkan daripada dijual di pasaran sejak 2016 hingga kini.

Pengurus Projek Lapangan Lang Tengah Turtle Watch (LTTW), Yasmin Rizal berkata, inisiatif pemuliharaan menerusi kempen penajaan sarang penyu itu secara tidak langsung membantu meningkatkan jumlah spesies terancam berkenaan di Terengganu.

Menurut beliau, pada tahun ini, kerjasama digerakkan dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) selaras untuk meningkatkan kesedaran orang ramai agar tidak memakan telur penyu sekali gus memboikot penjualannya di pasaran. 

“Program penajaan sarang penyu dapat memastikan telur reptilia marin itu boleh menetas  dengan selamat dalam pusat penetasan di samping menyediakan peluang kepada pemajak berlesen untuk menjana pendapatan.

“Ini merupakan antara usaha murni kita bagi memupuk kesedaran masyarakat umum dalam pemuliharaan penyu selain untuk mengumpul dana dengan menggalakkan masyarakat menaja satu atau lebih persarangan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Yasmin, dana yang disumbangkan akan digunakan untuk membeli telur daripada pemajak berlesen dan digunakan sepenuhnya bagi tujuan pemuliharaan penyu. 

Katanya, setiap sarang yang ditaja dapat menyelamatkan sehingga 150 ekor penyu dan anak-anak yang menetas, kemudian akan dilepaskan semula ke lautan.

“Tanpa perlindungan yang mencukupi, sarang penyu berisiko diburu untuk penjualan telur sama ada di pasaran sah atau haram. 

“Sehubungan itu, antara strategi bagi menjaga populasi penyu di Malaysia untuk jangka masa panjang termasuklah memindahkan dan mengeramkan telur penyu di Pusat Penetasan Penyu Tanjong Jara Resort yang terletak di YTL Tanjong Jara Resort, Terengganu,” katanya.

Sekiranya anda berminat untuk menjadi salah seorang penaja sarang layari  http://tinyurl.com/AdoptionFormLTTW.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya