Kedudukan Warisan tidak goyah - Mohd. Shafie - Utusan Malaysia

Kedudukan Warisan tidak goyah – Mohd. Shafie

MOHD. SHAFIE APDAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kehilangan orang kanan dalam kepimpinan Parti Warisan (Warisan) sedikit pun tidak akan menyebabkan kedudukan serta sokongan akar umbi terhadap parti itu goyah.

Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, sudah menjadi lumrah politik untuk berhadapan dengan pelbagai perangai manusia.

Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Peter Anthony untuk keluar merupakan haknya.

“Dalam dunia politik, saya katakan itu kehendak dan keperluan dia tapi, kita perlu bertegas kerana kita perlu ada disiplin dan nilai-nilai dalam kehidupan.

“Kalau kita tiada pendirian yang tegas untuk Sabah maka, perubahan tidak akan berlaku. Masyarakat hari ini mencemuh ahli-ahli politik kerana cara pemimpin mengurus tadbir negara.

“Kita selaku pemimpin boleh mengubah keadaan itu tapi, kita kena ada pendirian untuk berhadapan sebarang cabaran dan rintangan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Pada 28 Disember tahun lalu, Peter, yang juga bekas Naib Presiden Warisan bersama ADUN Limbahau, Datuk Juil Nuatim mengumumkan keluar daripada Warisan.

Sehingga kini, lima ADUN Warisan sudah meninggalkan parti hingga menyebabkan kedudukan Warisan ketika ini tinggal 17 kerusi daripada 73 kerusi DUN.

Mohd. Shafie, yang juga Ahli Parlimen Semporna berkata, perpecahan parti sudah biasa berlaku dalam politik malah, semasa zaman Parti Bersatu Sabah (PBS) dahulu turut melahirkan banyak anak-anak parti seperti Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Parti Maju Sabah (SAPP), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan Parti Liberal Demokratik (LDP).

“Macam-macam anak (parti) dilahirkan tapi, perubahan tetap tidak berlaku. Itu yang kita katakan ‘ubah’.

“Kita kena ada perubahan, kalau kita tidak mulakan perubahan contohnya di sini, maka negara kita masih dalam landasan di mana keadaan kaum dan agama membimbangkan,” katanya.

Mengulas lanjut, ADUN Senallang berkata, tindakan terhadap Peter akan diserahkan kepada pihak berwajib kerana itu bukan kuasanya untuk menentukan.

“Dia sudah keluar, tindakan apa harus diambil. Saya simpati dengan beliau (Peter), saya faham keadaan dan tekanan yang dihadapi. Bukan saya tidak faham dan tidak tahu dunia politik kerana saya pun dahulu (ditekan) begitu juga, ditahan dan dikecam,” katanya.

Tambah beliau, penerimaan rakyat Semenanjung terhadap Warisan agak baik namun, beliau tidak mahu mengulas lanjut.

“Kita serahkan kepada rakyat untuk menentukan perjalanan negara ini. Ketika ini, banyak rakyat bersuara dan kebencian mereka cukup tebal tentang ahli politik.

“Namun, perubahan tidak akan berlaku kalau kita tunggu ahli politik mengubahnya, kita kena pastikan rakyat mengubah keadaan di negara ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya