PUTRAJAYA: Nama Princess Aura Nurr Ermily Amara Auliya Bidadari Nawal El Zendra binti Mohd Suffian masih kekal sebagai pemilik nama terpanjang di Malaysia setakat ini.
Perkara tersebut disahkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hari ini.
Dua hari lalu, kecoh di media sosial termasuk Facebook mengenai satu hantaran oleh pemilik akaun bernama, Mohd Sholihin yang berkongsi nama anak perempuannya yang juga unik dan panjang.
Nama yang dikongsi itu adalah Nur Shafia Aaliya Zulaika Amira Naura Aurora Yeeha Cinta Binti Mohd Sholihin.
Nama unik itu sempat ditularkan beberapa ‘page’ Facebook sejak semalam dan hari ini sehingga mengundang pelbagai reaksi netizen.
Bagaimanapun, Mohd Sholihin kemudian tampil menjelaskan keadaan sebenar dan menafikan mendaftarkan nama itu bagi anak perempuannya.
Menurutnya, paparan nama yang dikongsinya itu sebenarnya telah disunting dan ia dibuat secara suka-suka sebaliknya nama sebenar yang didaftarkan adalah Nur Shafia Aaliya Binti Mohd Sholihin.
“Nur Shafia Aaliya Binti Mohd Sholihin.. nama sebenar, yang panjang-panjang tu edit suka-suka je….jangan marah ya,” kata Mohd Sholihin.
Mengikut rekod JPN, antara nama terpanjang lain ialah Nur Fathaniah Tariyah Karimah Farwizah Zahabiyah Syahirah binti Airol Anizam yang didaftarkan pada 2014.
Sebagai makluman, JPN membenarkan nama bayi yang ingin didaftarkan hendaklah tidak melebihi 80 aksara (huruf).
Nama paling pendek di Malaysia pula kekal milik seorang pelukis pelan, S Binti Rusli yang berasal dari Johor Bahru, Johor. – UTUSAN