Jade Marvel, Xinhai rancakkan industri perlombongan negara - Utusan Malaysia

Jade Marvel, Xinhai rancakkan industri perlombongan negara

(dari kiri) Dennis Chung, Vincent Chong, David Khoo, Kian Leong, Mohamad Nazri dan Keng Lok bergambar selepas menandatangani perjanjian persefahaman pada Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman diantara Jade Marvel dan Xinhai, di Petaling Jaya. - UTUSAN/MOHD FARIZWAN HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jade Marvel Group Berhad dan Shangdong Xinhai Mining Technology & Equipment Inc. (Xinhai) memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk melaksanakan projek perlombongan di Malaysia.

MoU tersebut bertujuan untuk membentuk kerjasama kedua-dua pihak dalam mengembangkan bidang perlombongan dengan memperkukuh semangat mesra hijau, membangunkan seluruh rantaian industri perlombongan, meningkatkan peluang pekerjaan dan taraf hidup penduduk tempatan, meningkatkan hasil kerajaan serta mengeratkan hubungan diplomatik antara Malaysia dan China.

Ketua Pengarah Bersama Jade Marvel, Datuk David Khoo berkata, kerjasama itu membolehkan peralatan dan penyelesaian perlombongan teknologi tinggi dibawa ke Malaysia yang seterusnya akan memberi manfaat kepada semua pemain perlombongan dalam negara.

“Kami akan memanfaatkan kepakaran Xinhai yang setakat ini telah berjaya melaksanakan banyak projek lombong, projek pemprosesan mineral kejuruteraan, perolehan, pembinaan, pengurusan dan operasi (EPC+M+O) dengan syarikat di Asia, Amerika Selatan dan Afrika.

“Menerusi kolaborasi itu juga, Jade Marvel dan Xinhai akan mewujudkan satu pakatan strategik untuk meneroka peluang perniagaan dalam pemprosesan mineral di Malaysia yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak selain penduduk tempatan.

“Antara kerjasama yang akan dilakukan adalah menubuhkan makmal pemprosesan mineral, pembangunan bersama untuk membina dan memupuk pemain perlombongan tempatan serta membina portfolio pelanggan yang kukuh,” katanya dalam ucapan dalam majlis MoU, di sini, semalam.

Pada majlis itu, Xinhai diwakili oleh Pengerusinya, Zhang Yunlong, Pengarah Pentadbiran dan Operasi, Han Qingwang, Pengarah Perniagaan Antarabangsa, Chang Naihui dan Pengurus Perniagaan Antarabangsa, Feng Xiaoyu.

Manakala, Jade Marvel diwakili oleh Pengarah Urusannya, Low Keng Lok dan Chuan Kian Leong, Pengarah Eksekutif, Vincent Chong, Pengarah Urusan Bersama, Dennis Chung dan Pengarah Pembangunan Perniagaan, Datuk Mohamad Nazri Ab. Rahman.

Mengulas lanjut, David memberitahu, melalui kerjasama tersebut, mereka bersama-sama akan menubuhkan pusat sehenti yang lengkap dengan bilik pameran dan makmal untuk dipamerkan kepada bakal pemain perlombongan tempatan dan menyediakan kepakaran, perkhidmatan perundingan dalam pengurusan dan operasi lombong industri berskala besar bagi membina dan melatih pasukan teknikal untuk pelanggan.

“Kami juga akan menjadi pengedar peralatan dan produk Xinhai serta akan melantik mereka sebagai wakil pemasaran di China untuk eksport produk mineral ke negara itu,” jelasnya.

Sementara itu, Mohamad Nazri berkata, di Malaysia, sektor perlombongan dikategorikan sebagai sektor yang berisiko tinggi.

Justeru, ujarnya, pihak institusi kewangan terutamanya bank-bank di Malaysia tidak menyediakan sebarang pinjaman kepada pemain industri.

“Kegagalan syarikat-syarikat perlombongan sebelum ini berpunca daripada kekurangan pengalaman dan kepakaran sehingga menyebabkan industri ini dilabelkan sebagai industri yang tidak signifikan untuk diceburi.

“Oleh itu, inisiatif yang dilakukan oleh Jade Marvel menerusi pelan masa depan yang terancang dengan mengenal pasti  dan menyatukan semua keperluan di bawah satu bumbung, dijangka akan merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negara dan mewujudkan lebih banyak syarikat perlombongan dalam negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya